suria

Sukan Sea: Pegawai MSN Meninggal Dunia Ketika Bertugas Di Palembang

PALEMBANG: Kontinjen negara di Sukan SEA Indonesia, khususnya di Palembang, dikejutkan dengan berita kematian seorang pegawai Majlis Sukan Negara (MSN), Rabu.

Allahyarham Harun Osman adalah pegawai Belia dan Sukan MSN.

Beliau meninggal dunia ketika menyambut ketibaan atlet di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud Badarudin II di sini.

Allahyarham dikatakan sedang berbual dengan beberapa rakan semasa menunggu ketibaan atlet dan tiba-tiba pengsan kira-kira pukul 5 petang waktu tempatan (6 petang waktu Malaysia).

Beliau kemudian diberikan bantuan awal oleh pasukan perubatan penganjur temasya itu.

Ketua Kontinjen Malaysia di Palembang Datuk Syed Mustaffa Syed Ali berkata Harun kemudian dibawa ke Hospital R S Myria, dan disahkan meninggal dunia pada 6 petang waktu tempatan.

"Harun dipercayai mengalami serangan jantung. Pada awalnya iaitu pada sebelah pagi, dia (Allahyarham) mengadu sakit di bahagian dada," katanya.

Jenazah Harun akan dibawa pulang ke Kuala Lumpur sejurus selesai bedah siasat.

Di JAKARTA, Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong berkata sepanjang pengetahuannya, ini merupakan kali pertama berlaku kematian yang melibatkan anggota sekretariat kontinjen Malaysia dalam temasya sukan.

"Kematian Allahyarham mendukacitakan bagi semua anggota kontinjen Malaysia yang berada di Palembang dan Jakarta. Namun, takdir menentukan," katanya.

Zolkples berkata pegawai MSN yang berada di Palembang memaklumkan bahawa Allahyarham kelihatan sihat sebelum ke Indonesia.

"Cuma pagi tadi, Allahyarham mengadu sakit di bahagian dada tetapi berkeras mahu meneruskan tugasnya untuk menjemput atlet negara yang tiba ke Palembang," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain