suria

Sukan Sea: Jalur Gemilang Dikibar Di Perkarangan Pejabat Gabenor Jakarta

JAKARTA: Kebiasaannya, upacara menaikan bendera kontinjen negara yang bertanding pada temasya Sukan SEA diadakan di Perkampungan Sukan.

Namun selepas tuan rumah bagi temasya ke-26, Indonesia tidak menyediakan Perkampungan Sukan untuk menempatkan atlet yang bertanding di ibu kota ini, upacara menaikkan bendera kontinjen diadakan di perkarangan Pejabat Gabenor Jakarta.

Pada acara yang berlangsung petang Rabu, kontinjen Malaysia yang diwakili 38 anggota, majoritinya atlet skuad silat serta anggota sekretariat yang diketuai ketua kontinjen negara Datuk Naim Mohamad, hadir menyaksikan Jalur Gemilang dinaikan.

Timbalan Gabenor Jakarta bagi Budaya dan Pelancongan, Sukesti Martono ketika berucap pada upacara itu mahukan negara-negara yang bertanding pada temasya itu mengutamakan semangat kesukanan demi kesetiaan semangat Asean.

Beliau kemudian menyampaikan cenderamata berupa patung boneka wayang kulit yang dinamakan 'Patung Wayang Betawi' kepada Naim.

Terdahulu, upacara menaikan bendera negara Thailand dan Brunei dilangsungkan. Pada upacara Selasa, bendera Singapura, Vietnam dan Filipina dinaikan. Pada Khamis akan dilangsungkan upacara menaikan bendera Laos, Myanmar, Indonesia dan Timor Leste. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain