suria

Nordin Jadi Mahu Lihat Lebih Banyak Kelab Olahraga Profesional Ditubuhkan

JOHOR BAHARU: Bekas pelari 400 meter kebangsaan, Nordin Jadi mahu lebih banyak kelab olahraga profesional ditubuhkan di negara ini bagi mencungkil bakat baru untuk diketengahkan di dalam sukan olahraga.

Beliau yang pernah menang pingat emas 400 meter Sukan SEA yang kini merupakan pengarah urusan kelab sukan Nordin Jadi Athletic Club (NJAC) berkata, kelab olahraga seumpama itu mampu mengembalikan era kegemilangan sukan olahraga negara.

"Kelab-kelab olahraga yang dikendalikan oleh profesional atau bekas atlet menjadi satu lagi saluran untuk kita mencungkil bakat-bakat baru di peringkat akar umbi di dalam sukan olahraga dan mengelak kita daripada terlalu bergantung kepada sekolah-sekolah," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata beliau sendiri menubuhkan kelab olahraga ketika dihantar berlatih di Jerman dan Amerika Syarikat.

Menurut Nordin, kelab olahraga yang diuruskan secara profesional tumbuh bak cendawan di negara-negara terbabit dan tahap persaingan antara kelab-kelab berkenaan adalah amat tinggi.

Beliau yang pernah mewakili negara pada Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles berkata di Eropah dan Amerika Syarikat kelab-kelab olahraga merupakan kilang dalam menghasilkan atlet berprestasi tinggi bagi mewakili negara.

"Sebagaimana sukan bola sepak seperti English Premier League, kelab-kelab memainkan peranan penting. Sukan olahraga di negara ini perlu mengikut jejak langkah dengan menubuhkan lebih banyak kelab olahraga," katanya.

Mengenai kelabnya, beliau berkata NJAC mempunyai panel jurulatih pakar sendiri dan ia menjalin kerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) bagi mencungkil lebih banyak bakat olahraga di peringkat bawah.

NJAC dan MSNJ telah mengadakan program memilih bakat di beberapa daerah di Johor sejak beberapa tahun lepas untuk diberi latihan dan bimbingan, kata Nordin. - BERNAMA

Nordin, Sukan SEA, Athletic Club

Artikel Sebelum

Artikel Lain