suria

Nielsen Dilantik Pengarah Sukan Pasukan Lotus Malaysia

KUALA LUMPUR: Nielsen akan menyertai pasukan Formula Satu (F1) Lotus Malaysia sebagai pengarah sukan bulan depan.

Dalam kenyataan yang mengesahkan pelantikan itu hari ini, pasukan Lotus berkata Nielsen, yang pernah berkhidmat dengan pelbagai pasukan F1 termasuk Lotus, Tyrrell, Benetton dan Arrows, akan menggantikan Dieter Gass yang akan kembali ke Jerman untuk bersama keluarganya, mulai 12 Disember ini.

Ketua Pegawai Teknikal Lotus, Mike Gascoyne dalam kenyataan itu berkata pasukan itu bangga untuk mendapatkan khidmat Nielsen sebagai pengarah sukan.

"Saya banyak bekerja bersamanya sebelum ini dengan Tyrrell dan Renault di mana kami memainkan peranan dalam membantu membina sebuah pasukan juara dan itu yang kami sasarkan dengan pasukan Lotus.

"Saya pasti beliau akan dapat berintegrasi segera dengan operasi kami dan akan diterima dengan baik oleh semua di Hingham dan Malaysia," katanya.

Prinsipal pasukan Tan Sri Tony Fernandes bangga bahawa Nielsen akhirnya bersetuju untuk menyertai pasukan itu.

"Ini adalah petanda baik kepada pasukan bahawa kami boleh menarik orang yang mempunyai kaliber seperti Nielsen, seorang yang amat dihormati dan mampu berkongsi kepercayaan dengan kemampuan kami untuk berkembang dan memberi saingan dalam sedikit masa lagi," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain