suria

Ketumpulan Penyudah Dan Gugup Punca Gagal Raih Mata Penuh

KUALA LUMPUR: Ketumpulan penyudah selain rasa gugup pemain bawah 23 tahun negara menjadi punca kegagalan mengutip mata penuh semasa menentang Singapura pada perlawanan bola sepak Sukan SEA ke-26 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Isnin.

Bekas pemain negara Dollah Salleh berkata masalah ketumpulan jentera penyudah negara dan corak pendekatan yang terlampau berhati-hari telah menyebabkan skuad itu terlepas peluang untuk menjaringkan gol.

Malaysia dan Singapura seri 0-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan A itu dan keputusan itu menyulitkan laluan skuad bimbingan Ong Kim Swee untuk memburu tempat ke separuh akhir.

Malaysia, selaku juara bertahan, akan berdepan dengan juara 13 kali Sukan SEA, Thailand, dan selepas itu terpaksa menentang tuan rumah Indonesia dan Kemboja pada saingan peringkat kumpulan.

"Secara keseluruhan skuad Malaysia telah berjaya menampilkan aksi terbaik berbanding pasukan lawan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dollah, yang pernah memenangi pingat emas bola sepak Sukan SEA 1989 ketika skuad kebangsaan mengatasi Singapura 3-1 di Stadium Merdeka di sini, berkata kekurangan penyerang berkebolehan juga boleh dikaitkan dengan kegagalan skuad tersebut untuk menjaringkan gol.

"Kita memerlukan pemain seperti Mohd Safee Sali, Mohd Shafiq Rahim yang bijak menyempurnakan peluang terhidang ketika berhadapan dengan penjaga gol lawan," katanya.

Seorang lagi bekas pemain kebangsaan Zainal Abidin Hassan turut bersetuju dengan pandangan Dollah bahawa ketumpulan barisan hadapan skuad tersebutn menyebabkan mereka berputih mata dalam perlawanan tersebut.

"Permainan mereka telah menampakkan kematangan tapi malangnya jentera serangan kita tidak mengambil peluang untuk menjaringkan gol.

"Bagaimanapun, saya memuji permainan mereka semalam terutamanya bahagian pertahanan yang mampu mengekang asakan lawan walaupun tidak berada dalam prestasi terbaik," katanya.

Ditanya mengenai jangkaan untuk perlawanan kedua bertemu Thailandpetang ini, Zainal berkata skuad tersebut perlu mengubah corak permainan mereka bagi memastikan mereka mampu pergi jauh pada edisi Sukan SEA kali ini.

Sementara itu, Raja Bola Datuk Ghani Minhat berkata pemain barisan hadapan gagal memberikan persembahan yang memberangsangkan seperti yang diharapkan.

"Saya lihat Syahrul Azwari yang bermain di bahagian sayap mempunyai banyak peluang namun beliau gagal memanfaatkan segala peluang yang diberikan oleh rakan sepasukan kepada beliau," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata skuad tersebut mampu melangkah ke peringkat seterusnya jika berjaya mengatasi Thailand.

"Agak sukar untuk mara ke peringkat seterusnya jika menampilkan corak permainan yang sama seperti semalam," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain