KUALA LUMPUR: Skuad pelayaran negara yang tiba di Indonesia pada Ahad, kecewa apabila penganjur temasya Sukan SEA itu tidak menyediakan tempat penginapan seperti yang dijanjikan sebelum ini.Pengurus pasukan Mohd Afendy Abdullah berkata beliau bersama 17 pelayar negara harus mencari tempat tinggal dan mengeluarkan duit sendiri bagi membayar kos penginapan sehingga 11 November ini. "Mengikut syarat penganjur penginapan disediakan pada Rabu, namun skuad pelayaran sampai awal dan kita sebelum ini telah bersetuju untuk membayar wang tambahan penginapan untuk tiga hari," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.Namun katanya, penganjur yang sebelum ini bersetuju, mengubah janji apabila menyatakan tempat penginapan rasmi bagi skuad pelayaran itu hanya akan disediakan pada 11 Nov tanpa jaminan rasmi."Bagi menjaga keselesaan pelayar, saya telah menempah tempat tinggal di Puteri Duyung Resort, Ancol Jakarta sehingga 11 Nov ini dengan perbelanjaan sendiri kerana pengurus pasukan tidak diberi sebarang peruntukan," katanya.Beliau yang juga Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia berkata akan memohon kepada Majlis Olimpik Malaysia untuk membuat bantahan kepada penganjur berhubung perkara itu bagi memastikan masalah sama tidak menimpa atlet lain.Skuad pelayaran negara mensasarkan untuk membawa balik sekurang-kurangnya dua emas pada temasya kali ini bagi menebus kekecewaan sekadar meraih satu pingat emas ketika beraksi di Sukan SEA Laos, dua tahun lepas. -BERNAMA