suria

Skuad Projek 2013 Negara Mula Ujian Pada Piala Sultan Johor Hari Ini

JOHOR BAHARU: Skuad Projek 2013 remaja kebangsaan bakal berdepan dengan cabaran sengit pada Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor yang bermula di Stadium Hoki Taman Daya di sini hari ini.

Kejohanan remaja yang pertama kali diadakan itu bakal memberi gambaran jelas kepada jurulatih Mohd Dharma Abdullah bagi membentuk pasukan yang mantap pada pusingan kelayakan Piala Dunia Remaja zon Asia di Melaka tahun depan.

Kejohanan enam negara di sini membabitkan Australia, India, Pakistan, New Zealand, Korea Selatan dan tuan rumah Malaysia merupakan medan yang sesuai untuk menguji kekuatan pasukan lawan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia Remaja nanti.

Piala Dunia Remaja 2013 akan berlangsung di India. Malays ia akan membuka saingan dengan menentang Australia esok dan Dhamaraj amat sedar dengan apa yang menunggu untuk anak buahnya.

Pada hakikatnya, pasukan lain tidak akan memberi laluan mudah untuk Malaysia dan sasaran skuad negara menduduki dua pasukan terbaik di sini hanya semata-mata perang psikologi bagi meningkatkan semangat pemain.

"Biar kita tidak menyentuh sasaran dua tempat terbaik dalam kejohanan ini. Apa yang lebih penting dan perlu dirisaukan ialah pusingan kelayakan Piala Dunia Remaja," kata Mohd Dharma di sini pada Jumaat.

Beliau mengakui pencapaian kedudukan dua pasukan terbaik dengan kehadiran Pakistan, India dan Korea Selatan di sini akan meningkatkan semangat pemain untuk terus fokus pada pusingan kelayakan nanti.

Bagaimanapun, sasaran skuad remaja negara itu bukan mudah dicapai dengan ketiadaan bintang penyerang Faisal Saari yang diperlukan oleh skuad senior yang melakukan persediaan menghadapi Kejohanan Trofi Juara-Juara di Afrika Selatan dalam masa dua bulan lagi.

Selain Faisal, khidmat seorang lagi pemain remaja Firhan Ashaari turut diperlukan oleh skuad senior negara.

"Kita perlu meneruskan tanpa kelibat dua pemain tonggak dan kami sudah membuat persediaan baik dan akan memberi saingan hebat pada kejohanan ini," kata Mohd Dharma. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain