suria

Nasri Sasar Kelompok Sepuluh Terbaik

MOHD Nasri Mohd Ishak meletakkan sasaran tinggi pada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) pada 12 dan 13 November ini.

Beraksi dalam dua kategori, Wira dan Piala Yamaha EgoLC PETRONAS banyak membantu pelumba berusia 14 tahun itu untuk tampil lebih yakin pada setiap perlumbaan.

Walaupun dia masih belum berjaya mempamer prestasi baik dalam kategori bawah 17-tahun Wira, dia telah pun menunjukkan peningkatan mendadak dalam kategori satu pengeluar Yamaha.

Nasri yang baru memulakan karier perlumbaannya musim ini kini mendahului kedudukan keseluruhan kategori tersebut dengan 94 mata hasil daripada empat kedudukan podium setakat ini.

Berada di tangga kedua pula merupakan Mohd Shafiq Rasol, 89 mata dan Mohd Mu’izz Al-Atrash ketiga, 85 mata.

“Buat masa sekarang, saya cukup berpuas hati dengan prestasi saya dalam Piala Yamaha EgoLC PETRONAS.

“Saya juga tidak sabar untuk merebut podium di Sepang dan mengukuhkan lagi peluang untuk merangkul gelaran juara keseluruhan,” jelas Nasri yang memenangi perlumbaan di Teluk Intan (Pusingan 5) dan di Melaka (Pusingan 8),” katanya.

Bercakap tentang penglibatannya dalam kategori Wira bersama pasukan APIDO Yamaha Boon Kui pula, dia berkata, aksinya dalam kategori Wira ini tidak begitu baik dan masih berusaha untuk menyesuaikan diri dengan jentera Yamaha dan tahap persaingan di dalam kelas ini jauh lebih sengit.

“Walaupun begitu, terdapat juga kebaikannya kerana saya dapat menimba lebih pengalaman, sekaligus memberikan saya kelebihan berbanding pencabar-pencabar saya,” katanya.

Tambah Nasri, walaupun terdapat ramai pelumba baru beraksi di dalam kategori ini, terdapat juga ramai pelumba berpengalaman seperti Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing), Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing) dan Mohd Amin Mohd Azahar.

“Ia sekaligus menjadikan perlumbaan lebih mencabar. Saya tidak meletakkan sebarang sasaran tinggi pada perlumbaan Wira di Sepang nanti.

"Saya berharap dapat berada di kedudukan sepuluh terbaik kerana fokus saya tahun ini adalah untuk menimba pengalaman," katanya.

Artikel Lain