suria

Terengganu Lepaskan Irfan Tanpa Rasa Tak Puas Hati

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola sepak Negeri Terengganu (PBSNT) melepaskan Irfan Bakti Abu Salim tanpa rasa dendam atau tidak berpuas hati.

Presidennya Datuk Che Mat Jusoh secara peribadi menganggap kontroversi pengunduran Irfan Bakti selesai selepas jurulatih kelahiran Kelantan itu memutuskan untuk bersama Selangor musim depan setelah bersama skuad penyu selama dua tahun.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut berhubung perkara ini (pengunduran Irfan Bakti) kerana beliau telah memutuskan untuk tidak bersama skuad penyu lagi.

"Apa yang boleh saya katakan adalah semoga beliau terus berjaya dengan pasukan baru yang bakal dilatih nanti," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Ketika diminta mengulas berhubung kritikan pelbagai pihak yang mengaitkan dirinya dengan pengunduran jurulatih berusia 60 tahun itu, beliau enggan mengulas lanjut dan menegaskan tidak sebarang pergeseran di antara mereka berdua.

Pada Isnin lalu, Ketua Jurulatih Terengganu itu mengumumkan akan meninggalkan pasukan naib juara Piala Malaysia itu apabila kontraknya berakhir 31 November ini.

Keputusan mengejut itu dibuat kurang dua hari selepas Terengganu gagal menjuarai Piala Malaysia setelah tewas 1-2 kepada negeri sembilan Sabtu lalu.

Bagaimanapun sebelum ini jurulatih itu menegaskan keputusan untuk meninggalkan bumi penyu ini adalah atas persetujuan kedua-dua belah pihak.

Di bawah kendalian selama dua musim, Terengganu berjaya menjuarai Piala FA, menjadi naib juara Liga Super dan terbaru naib juara Piala Malaysia setelah kalah kepada Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir Sabtu lalu.

Pengunduran jurulatih yang berpengalaman lebih 15 tahun ini bakal digantikan dengan jurulatih kelab Liga Perdana, Mat Zan Mat Aris.

Sementara itu, Setiausaha Kelab Peteh Wan Mohd Azmi Ngah ketika ditanya mengenai penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) mengajak peminat bola sepak Terengganu menyertai demontrasi bagi mendesak Che Mat meletak jawatan, berkata peminat perlu berfikran terbuka dengan hormati keputusan Irfan Bakti.

Demonstrasi itu didakwa dirancang diadakan Jumaat ini oleh kelab penyokong dan pemain yang dikatakan tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan PBSNT dalam menjaga kebajikan pemain serta jurulatih.

Wan Mohd Azmi berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan pihak pengurusan PBSNT malah hubungan baik sudah terjalin sejak dulu lagi termasuk dalam hal berkaitan sokongan kepada pemain.

"Saya berharap kemunculan pasukan Terengganu bersama pengemudi baru, Mat Zan Mat Aris pada musim depan mampu membawa skuad penyu meraih lebih banyak kejayaan berbanding sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Setiausaha GanuSoccer.Net (GSN), Ummi Munira Mohd Zawawi melahirkan rasa terkejut dan menegaskan pihaknya tidak mengetahui langsung berkaitan penyebaran SMS tersebut.

Beliau berharap individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan SMS itu dapat menghentikan tindakan tidak profesional itu, sebaliknya turut sama membantu memantapkan pasukan Terengganu bagi menghadapi perlawanan pada musim depan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain