suria

Peluncur Asia Tenggara Sertai Terengganu Quiksilver Best Event 2011

KUALA LUMPUR: Seramai 80 peluncur air dari dalam dan luar negara dijangka menyertai kejohanan luncur air Terengganu Quiksilver Best Event 2011 yang akan diadakan di Kuala Terengganu dari 2 hingga 4 Disember ini.

Pengarah kejohanan Bryan Ng berkata para peluncur air luar negara yang disasar menyertai acara yang dianjurkan bersama kerajaan Terengganu dan EC Extreme itu ialah dari Thailand, Indonesia, Singapura, Taiwan, Filipina, Jepun, Australia dan Maldives.

"Kejohanan yang memasuki edisi kesembilan ini akan diadakan di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu dan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM32,000," katanya kepada pemberita, di sini, Khamis.

Beliau berkata Pantai Batu Buruk dipilih untuk kejohanan kali ini kerana ia mempunyai ciri-ciri ombak yang sesuai untuk aksi luncur air dan memberi pendedahan kepada rakyat tempatan untuk mempelajari sukan itu. Antara acara yang bakal dipertandingkan ialah Short Board Open lelaki dan wanita, Master Short-board Open dan Body-board Open.

Bryan berkata sukan luncur air telah lama bertapak di Malaysia namun kerana kurang pendedahan mengenainya, ramai belia kurang menyertai sukan itu.

Penyertaan masih dibuka dan peluncur air yang berminat boleh mengunjungi outlet Quiksilver terpilih atau mendaftar pada hari pertama kejohanan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain