suria

Nur Suryani Teruja Bawa Jalur Gemilang Di Sukan SEA Indonesia

PUTRAJAYA: Walaupun bangga diberi penghormatan sebagai membawa Jalur Gemilang ketika upacara perasmian temasya Sukan SEA di Indonesia Jumaat depan, namun perasaan gemuruh tidak dapat dielakkan oleh penembak senior negara Nur Suryani Mohamed Taibi.

Ini kerana kontinjen negara kali ini terdiri daripada 872 atlet dan pegawai, yang merupakan penyertaan terbesar kontinjen negara ke temasya sukan Asia Tenggara itu.

"Saya telah mewakili negara dalam banyak temasya sukan sebelum ini dan penghormatan kali ini yang diberikan kepada saya amat besar.

"Saya sebenarnya terkejut dengan pengumuman tadi apabila dipilih sebagai pembawa bendera Malaysia. Ini kali pertama saya diberi peluang seumpamanya.

Tanggungjawab juga menjadi besar khususnya untuk menjulang nama negara," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kepada Ketua Kontinjen Sukan SEA di Jakarta, Datuk Naim Mohamad di sini Khamis.

Turut hadir Ketua Kontinjen Sukan SEA di Palembang, Datuk Syed Mustafa Syed Ali, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar, Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, dan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad. Nur Suryani, 29, pemenang pingat emas bagi acara 10m Air Rifle berpasangan wanita pada Sukan Komanwel 2010 di India bersama Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, akan bergandingan dengan Shahera Rahim Raja.

Bagi acara 50m Three Positions, beliau akan bersama Nur Ayuni Farhana di Kompleks Jakabaring, Palembang. Penembak kelahiran Perak itu berkata secara peribadi, beliau menyimpan impian membawa balik sebutir pingat tanpa mengira warna kerana tidak mahu kenangan pahit tanpa pingat emas pada temasya di Laos berulang.

"Saya mahu beri semangat kepada diri sendiri dan ia boleh dianggap realistik walaupun kita tahu mengenai kelebihan pasukan tuan rumah yang pastinya akan memberikan yang terbaik," katanya yang menyertai Sukan SEA keenam sejak 2001 di Kuala Lumpur.

Kontinjen negara berkampung di IOI Resorts di sini selama lima hari bermula Isnin sebagai pusat latihan terakhir sebelum berlepas ke Indonesia.

Pada temasya di Laos dua tahun lalu, skuad menembak negara tidak meraih pingat emas dan sekadar membawa pulang enam pingat perak dan lima gangsa menerusi 16 penembak lelaki dan wanita kebangsaan.

Kontinjen negara akan menyertai 38 jenis sukan pada kejohanan dari 11 hingga 22 November ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain