PUTRAJAYA: Seminggu menjelang perasmian Sukan SEA ke-26 di Indonesia, Majlis Sukan Negara akhirnya mengumumkan 45 pingat emas sebagai sasaran kontinjen negara pada temasya itu.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mengumumkan perkara itu menjelaskan sasaran itu adalah realistik berdasarkan prestasi semasa atlet kebangsaan dan kekuatan pasukan lawan.
"Kita sasarkan yang realistik. Walaupun banyak acara yang kita sertai, kita
juga harus mengambil kira kelebihan yang ada pada tuan rumah khususnya pada
sukan-sukan yang melibatkan permarkahan secara subjektif," katanya pada sidang
media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di IOI
Resort di sini, Khamis.
Beliau berkata Malaysia kehilangan beberapa pingat emas dalam acara tertentu
akibat kecederaan ayam tambatan negara seperti jaguh renang Daniel Bego dan
wira karate Mohd Hatta Mahamut yang kedua-duanya pernah meraih emas pada
temasya itu sebelum ini.
Malaysia juga tidak menghantar pasukan terkuat untuk bertanding
dalam beberapa sukan seperti badminton serta tidak menurunkan ratu wushu negara
Chai Fong Ying, katanya.
"Contohnya badminton, yang diturunkan adalah barisan pelapis berikutan Lee
Chong Wei dan lain-lain sedang fokus terhadap Olimpik manakala Chai Fong Ying
tidak kita turunkan kerana tidak mahu beliau menjadi korban pada sistem
pemarkahan yang subjektif," katanya.
Ahmad Shabery berkata antara sukan yang dilihat berpotensi menyumbang emas
adalah terjun, renang, renang berirama, olahraga, memanah, tenpin boling dan
berbasikal trek.
Malaysia menghantar seramai 872 atlet dan pegawai ke temasya itu bagi
menyertai 38 acara yang dipertandingkan.
Sukan SEA kali ini diadakan di Palembang dan Jakarta bermula 11 hingga 22 November ini.
Terdahulu, Ahmad Shabery menyampaikan kata-kata semangat kepada para atlet
yang mengambil bahagian pada temasya itu.
Beliau turut menyerahkan Jalur Gemilang sebagai simbolik amanat rakyat
Malaysia kepada Ketua Kontinjen Datuk Naim Mohamad yang kemudiannya memberikan
bendera itu kepada atlet menembak Nur Suryani Mohamed Taibi selaku pembawa panji
negara.
Ahmad Shabery turut menyampaikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam)
kepada beberapa orang atlet yang mencapai kejayaan cemerlang tahun ini.
Antaranya ialah Chai yang meraih jumlah insentif tertinggi RM100,000 setelah merangkul emas dan gangsa dalam Kejohanan Wushu Dunia di Ankara, Turki bulan lepas.
Penerima lain termasuk atlet boling Jacqueline Sijore yang menjuarai
Kejohanan Boling Wanita di Hong Kong, skuad memanah yang membawa pulang dua emas
dan dua perak menerusi Kejohanan Memanah Asia di Tehran, Iran serta skuad wushu
pada Kejohanan Wushu Dunia.-BERNAMA