suria

Tengku Amirul Kekal Tanding Kategori Wira

Didorong oleh kejayaan menaiki podium di Melaka, Tengku Amirul Haffiruddin memutuskan untuk terus beraksi dalam kategori Wira pada baki perlumbaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 bermula pada Pusingan 9 di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) pada 12 dan 13 November ini.

Pada peringkat awal musim sehingga Pusingan 7 (Kluang), Tengku Amirul mengambil bahagian dalam kategori CP115 bersama pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline selepas menjuarai kategori Cabaran Yamaha 135LC musim lalu. Namun, ekoran kekurangan pengalaman dia gagal untuk menyaingi pelumba-pelumba lebih senior dalam kategori pertengahan tersebut.

Disebabkan itu, Tengku Amirul kurang konsisten sepanjang beraksi dalam CP115. Dia gagal menamatkan perlumbaan (DNF) pada dua pusingan awal di Kangar (Pusingan 1) dan Batu Kawan (Pusingan 2) sebelum menduduki tempat kesembilan di gelanggang sendiri pada Pusingan 3 (Kuala Terengganu).

Tengku Amirul meneruskan aksi baik pada pusingan berikutnya di Putrajaya (Pusingan 4) dengan menamatkan perlumbaan di tempat kelima yang juga merupakan pencapaian terbaiknya dalam CP115 sebelum prestasinya kembali merundum apabila dia gagal melayakkan diri ke perlumbaan akhir (DNQ) ketika perlumbaan di Teluk Intan (Pusingan 5).

Ketika di Alor Setar (Pusingan 6) dan Kluang (Pusingan 7) pula, dia sekadar muncul di kedudukan ke-11 dan ke-12 sekaligus meletakkannya di tangga ke-15 dalam senarai keseluruhan dengan 28 mata.

Menyedari masih banyak yang perlu dilakukannya untuk menyaingi pelumba lebih berpengalaman dalam kategori CP115, Tengku Amirul beralih ke pasukan Pennzoil Malaysia Racing di Melaka dan menyertai kategori Wira di mana dia membuktikan tindakannya tepat sekali apabila berjaya menduduki podium di tempat ketiga.

Gembira menemui semula rentaknya, Tengku Amirul berkata agak sukar baginya untuk bersaing dalam kategori CP115 kerana saingannya rata-rata pelumba yang berpengalaman.

“Beraksi dalam kategori CP115 terlalu sukar bagi saya. Kebanyakan pelumba di dalam kategori tersebut mempunyai beberapa tahun pengalaman dalam Kejuaraan ini berbanding saya yang baru memasuki musim kedua.

"Tidak dapat dinafikan tekanannya begitu tinggi. Mereka mempunyai tumpuan yang lebih baik, kecergasan fizikal yang mantap dan cara tunggangan juga lebih agresif. Ini sebab utama saya memilih untuk kembali berlumba di dalam kategori Wira. Saya mahu mengutip lebih banyak pengalaman dahulu sebelum beralih ke kelas lebih tinggi,” jelas Tengku Amirul.

Bercakap tentang kejayaannya dan juga harapan pada perlumbaan akan datang, Tengku Amirul berkata, dia tidak mahu terlalu yakin kerana litar pada pusingan ke 9 ini agak berbeza berbanding litar lain.

“Saya lebih yakin dalam kategori Wira kerana saya berhadapan pelumba yang berada pada tahap sama dengan saya. Ini membolehkan saya bersaing secara adil untuk merebut podium seperti mana di Melaka. Namun begitu, saya tidak mahu terlalu yakin kerana perlumbaan di Sepang agak berbeza kerana keadaan litar yang begitu luas dan panjang. Mudah-mudahan saya dapat menaiki podium sekali lagi di sana,” katanya.

Kedudukan keseluruhan kategori Wira pada ketika ini menjadi milik Zulsyafiz Rosli, 16 tahun dari pasukan MOS Malaysia Racing dengan 136 mata diikuti juara bertahan, Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang), 101 mata dan Mohd Hafiza Rofa (Faito YSP Racing) ketiga, 100 mata.

Maklumat lanjut, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-87338787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, www.malaysiancubprix.com atau menyertai laman Facebook diwww.facebook.com/malaysiancubprix dan Twitter melalui www.www.twitter.com/msiancubprix.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain