suria

KBS Yakin Kemampuan Indonesia Anjur Sukan SEA 2011

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek percaya kerajaan Indonesia akan memastikan segala persiapan dan keperluan yang sepatutnya disediakan untuk temasya Sukan SEA 2011, dapat disempurnakan sebelum pertandingan bermula.

Beliau berkata kerajaan Malaysia, melalui pelbagai agensinya, turut mengikuti segala keperluan kontinjen negara ke temasya itu.

"Saya sentiasa mengikuti perkembangan Sukan SEA kali ini melalui media dan juga rakan-rakan di Indonesia, terutama mengenai persediaan untuk temasya itu," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau ditanya sama ada Indonesia sudah bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan temasya ke-26 itu di dua venue yang jauh iaitu di Jakarta dan Palembang.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Jakarta Datuk Naim Mohamad berkata sasaran sebenar pingat emas bagi temasya tersebut belum diputuskan kerana proses penilaian pasukan masih dijalankan.

"Setiap pengurus pasukan mempunyai sasaran tersendiri, dan jika dikumpul kesemua sasaran mereka... 60 emas menjadi pertaruhan, namun kami masih menilai prestasi setiap pasukan, dan sasaran rasmi akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata atlet perlu beraksi cemerlang di temasya tersebut dan mereka seharusnya mengambil peluang itu untuk memperbaiki rekod peribadi, sekaligus memecahkan sebarang rekod kebangsaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain