suria

Sukar Ramal Siapa Juara Piala Malaysia: Jurulatih

KUALA LUMPUR: Sukar untuk meramalkan siapa yang paling layak antara Negeri Sembilan dan Terengganu untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia tahun ini.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan mempunyai pengalaman beraksi pada perlawanan akhir tiga kali berturut turut serta berazam merampasnya selepas dikecewakan oleh Kelantan musim lepas.

Kesungguhan dan kemampuan kedua-dua pasukan tahun ini lebih menarik dengan masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri namum silap sedikit percaturan boleh membawa padah.

Terengganu memang terkenal dengan corak permainan pantas sementara Negeri Sembilan dengan kombinasi pemain muda dan pemain berpengalaman sudah pasti mempergunakan kelebihan masing-masing untuk memenangi Piala Malaysia 2011.

Meskipun ramai pemerhati dan jurulatih beranggapan kedua-dua pasukan itu mempunyai peluang seimbang dengan pemenang ditentukan dengan kelebihan satu gol berdasarkan rekod cemerlang semasa saingan awal piala tersebut.

Jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan berkata kedua-dua pasukan itu memiliki corak taktikal yang berlainan tetapi kelebihan barisan pemain yang mampu megekang serangan dan asakan.

"Secara jujurnya sukar nak diramal pasukan manakah akan bergelar juara kerana kedua-dua pasukan itu mempamerkan aksi yang seimbang dalam saingan awal Piala Malaysia ini.

"Malah ramalan saya, salah satu pasukan hanya memang dengan perbezaan defisit gol 1-0 atau 2-1 sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Jumaat.

Bagi Terengganu, Wan Jamak berkata skuad Penyu itu dilihat konsisten dalam kempen Piala Malaysia kali ini berdasarkan prestasi dan komitmen skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim dari awal musim.

Terengganu menghampiri kemuncak apabila berjaya menyingkir juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor dalam saingan separuh akhir dan menewaskan juara bertahan Kelantan pada suku akhir.

"Terengganu kini berada dalam landasan yang tepat. Malah selaku juara Piala FA tahun ini, pastinya peminat berharap skuad Terengganu mempamerkan aksi yang lebih bertenaga untuk membawa pulang piala kedua buat negeri Terengganu.

"Malah mereka mempunyai empat barisan pemain serangan seperti Joseph Kallang Tie, Abdul Manaf Mamat, Abdul Hadi Yahya dan Mohammad Ashaari Samsudin yang pastinya perlu diberi perhatian," katanya.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berkata keupayaan skuad Negeri Sembilan juga tidak boleh dipertikaikan memandangkan mereka turun ke gelanggang dengan status sebagai naib juara serta juara Piala FA tahun lepas.

Katanya jurulatih Negeri Sembilan Mohd Azraai Khor Abdullah akan meletakkan sandaran kepada pemain berpengalaman antaranya pemain kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah, Hairudin Omar dan Mohd Shukor Adan.

Jurulatih Felda United, E. Elavarasan turut mengakui saingan sengit akan berlaku dalam pertembungan dua pasukan itu kerana masing-masing pastinya mengidam-idamkan piala tersebut.

"Negeri Sembilan pastinya mahu menamatkan penantian dua tahun di mana kali terakhir mereka merangkul piala itu pada 2009.

"Terengganu juga pastinya mahu memburu piala yang kedua buat tahun ini dan menamatkan kemarau 10 tahun piala itu yang kali terakhir dimenangi pada 2001," katanya.

Seorang lagi jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baru dilantik bagi perlawanan musim depan, B. Sathianathan, pula menjangkakan skuad Negeri Sembilan akan membuat kejutan kerana mempunyai potensi dan pemain yang versatil seperti S. Kunanlan dan Shahurain Abu Samah bagi mengucar-kacirkan barisan lawan.

"Jujurnya saya lihat Negeri Sembilan mempunyai komitmen untuk menjadi juara kerana mempunyai beberapa pemain senior tambahan Kunanlan pula mempunyai corak permainan yang laju.

"Shahurain pula menjaringkan enam gol dengan purata satu gol setiap perlawanan kempen Piala Malaysia dan beliau mempunyai peluang yang cerah kerana masih muda," katanya.

Beliau berkata formasi corak skuad Rusa (Negeri Sembilan) yang biasanya membuat hantaran pendek dan tidak hanya sekadar mementingkan pertahanan dan sesi serangan balas yang laju pastinya akan menjadi faktor buat pasukan itu beroleh kejayaan.

"Oleh kerana Terengganu juga merupakan lawan hebat, saya hanya sasarkan Negeri Sembilan mungkin menang dengan defisit satu gol sama ada 2-1 atau 1-0," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Emir Kejar Mata Maksimum

Artikel Lain