suria

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Dibaik Pulih Untuk Perlawanan AFC

KUALA TERENGGANU: Kerja baik pulih dan ubahsuai Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini dijadual siap sebelum bermulanya Kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Mac bulan depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof berkata kerja menaiktaraf dengan peruntukan yang disalurkan melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sedang rancak dijalankan dan dijangka siap menjelang akhir Januari depan.

Katanya, pihaknya berpuas hati dengan keadaan rumput di padang yang kini berada pada tahap terbaik manakala keperluan lain termasuk bilik media dan bilik persalinan dinaik taraf dan lampu limpah akan dipertingkatkan hingga mencapai tahap yang ditetapkan.

"Setakat ini kita ada empat menara untuk lampu limpah jika menara itu tidak cukup kita akan tambah mengikut kesesuaian. Selain itu bilik persalinan dan bilik mesyuarat pun kita akan ubahsuai," katanya.

Menurutnya, Terenganu layak menyertai Kejohanan AFC itu selepas menjuarai Piala FA pada Jun lalu.

Kejohanan AFC itu turut menyaksikan penampilan pasukan Kelantan yang muncul juara Liga Super musim 2011.

Dalam pada itu, Terengganu yang mengesahkan penyertaan sebelum tarikh tutup pada 31 Okt depan sedang mengintai dua pemain import bagi memperkukuhkan pasukan.

Menurut Sheikh, walaupun banyak permohonan dari pemain luar namun PBSNT akan memberikan tumpuan kepada Piala Malaysia terlebih dahulu dan hanya akan mendapatkan khidmat pemain import selepas itu.

"Banyak cakera padat (cd) pemain import telah sampai ke pejabat...kita dah tengok sendiri corak permainan pemain import ini namun setakat ini belum ada sebarang keputusan," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan akan menyenaraikan nama pemain untuk Kejohanan AFC selepas selesai Piala Malaysia dengan senarai pemain yang dikekalkan.

Katanya pemilihan akan dijalankan dengan teliti bagi memastikan pemain yang diimport berkualiti dan mampu meningkatkan prestasi pasukan negeri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Emir Kejar Mata Maksimum

Artikel Lain