suria

Ketepikan Isu Tiket, Datang Sokong Pasukan Masing-Masing:Sultan Ahmad Shah

PEKAN: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah meminta penyokong Terengganu dan Negeri Sembilan mengetepikan isu kenaikan harga tiket sebaliknya datang beramai-ramai ke Stadium Shah Alam pada Sabtu ini bagi menyokong dan membantu pasukan masing-masing dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.

"Kalau dapat 80,000 orang datang adalah baik untuk kedua-dua pasukan, bukan kepada FAM.

"Kesian juga pasukan negeri-negeri telah belanja berjuta-juta untuk nak perbaiki pasukan masing-masing. Marilah kita beramai-ramai menyokong kedua-dua pasukan ini, dalam masa sama menolong menambahkan pendapatan daripada jualan tiket kepada kedua-dua pihak," titah baginda selepas merasmikan Kem Force 136, Rejimen 505 Askar Wataniah di sini Khamis.

Turut hadir Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Kenaikan harga tiket itu telah menimbulkan bantahan penyokong dan beberapa pihak lain tetapi, menurut baginda, Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad telahpun menjelaskan bahawa kenaikan harga tiket itu adalah bagi tujuan menampung pelbagai perbelanjaan yang meningkat.

Sultan Ahmad Shah bertitah FAM tidak akan mengubah harga tiket yang telah dipersetujui bersama oleh kedua-dua persatuan bola sepak negeri berkenaan.

Bagaimanapun, menurut baginda, FAM akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak selepas perlawanan itu bagi memastikan tidak wujud masalah pada masa depan.

"Tinggal beberapa jam lagi nak sepak mula, takkan nak tukar," titah baginda. Bagi membantu penyokong masing-masing, kerajaan negeri Terengganu memberi subsidi RM25 untuk 30,000 tiket manakala Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan pula memberikan potongan RM20.

Ditanya mengenai penyokong yang menyalahkan FAM berhubung isu itu, Sultan Ahmad Shah bertitah: "Jawatankuasa (Tiket dan Pertandingan Tempatan) dah putuskan, ia baik untuk kedua-dua pasukan."

Mengulas mengenai kejadian di Wisma FAM di Kelana Jaya yang dilempar cat dipercayai ada kaitan dengan isu kenaikan harga tiket itu, Sultan Ahmad Shah menyifatkannya sebagai perbuatan bodoh.

"Biarkanlah, itu orang bodoh, kita tidak boleh ambil tindakan sendiri, kita ada undang-undang," titah baginda sambil menjelaskan bahawa kejadian itu telah dilaporkan kepada polis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain