suria

Hen Long Jadi Ancaman Baru Buat Chong Wei Di Sukan Olimpik:BAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui bimbang dengan peningkatan pemain nombor dua China, Chen Long, yang kini dilihat menjadi 'ancaman' kepada peluang Malaysia untuk merangkul emas pertama Olimpik menerusi sukan itu.

Setiausaha BAM Ng Chin Chai berkata jika dahulu pencabar utama jaguh negara Datuk Lee Chong Wei pada Sukan Olimpik London tahun depan hanyalah pemain China, Lin Dan, tetapi kini Chen Long turut menjadi penghalang.

Ng, bagaimanapun menafikan prestasi Chong Wei telah mengalami kemerosotan.

"Prestasi Chong Wei tak menurun, tetapi prestasi Chen Long yang nampaknya naik dengan mendadak," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Isnin.

Chong Wei kalah Chen Long, pemain nombor tiga dunia, 15-21, 18-21 pada perlawanan akhir Terbuka Denmark semalam , iaitu kekalahan kedua beliau tahun ini kepada pemain berusia 22 tahun itu.

Sebelum ini, Chen Long mengalahkan Chong Wei pada final Terbuka Jepun, bulan lepas.

Ng berkata BAM akan tetap mengkaji semula prestasi pemain nombor satu dunia itu dan jika perlu struktur dan program latihan beliau akan dirombak semula.

Chong Wei disenaraikan sebagai pilihan utama pada Terbuka Perancis dan akan membuka saingan menentang pemain Jerman Marc Zwievler pada Rabu ini.

Chen Long sekali lagi diramal menjadi saingan utama Chong Wei pada separuh akhir dan sekiranya Chong Wei berjaya melepasi halangan itu, beliau berkemungkinan berdepan dengan mush tradisinya, Lin Dan, pada final.

Sementara itu, Ng berkata BAM masih memberi peluang kepada beregu utama negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong untuk meningkatkan prestasi mereka sebelum Julai tahun depan memandangkan beregu itu juga menjadi harapan negara dalam meraih pingat Olimpik.

Meskipun kecewa dengan kekalahan beregu nombor lima dunia itu seawal pusingan pertama pada Terbuka Denmark minggu lalu, beliau berkata Koo dan Tan perlu diberi masa untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan yang baru.

Koo dan Tan yang sebelum ini dibimbing jurulatih dari Indonesia Rexy Mainaky, baru tiga minggu ditukarkan di bawah Tan Kim Her dan Pang Cheh Chang dan akan mendapat jurulatih baru Yoo Yong-sung dari Korea Selatan bulan depan. - BERNAMA

Artikel Lain