suria

Luthi Juara Moto2 MotoGP Malaysia

SEPANG: Pelumba Interwetten Paddock Moto2, Thomas Luthi menjuarai kategori Moto2 Perlumbaan Motosikal Grand Prix (MotoGP) Shell Advance Malaysia 2011 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Ahad.

Luthi menamatkan perlumbaan dengan mencatat 36'35.114 diikuti rapat Stefan Bradl dari pasukan Viessmann Kiefer Racing dan ketiga Pol Espargaro (HP Tuenti Speed Up).

Bradl yang menunggang jentera Kalex kini mengumpul mata keseluruhan 274 mata, beza 23 mata daripada pelumba yang menghuni di tangga kedua, Marc Marquez (Catalunya Caixa Repsol) dan tempat ketiga keseluruhan dipegang oleh pelumba dari pasukan Speed Master, Andrea Iannone dengan jumlah 172 mata.

Sementara itu, pelumba wild card negara, Mohamad Zamri Baba berjaya mencatat keputusan baik berbanding tahun lalu dengan menamatkan perlumbaan di tangga ke-20, manakala seorang lagi pelumba muda negara, Hafizh Syahrin berada di tempat ke-22.

"Saya gembira kerana dapat habiskan perlumbaan dengan baik tahun ini. Perlumbaan tahun lalu saya berada di tempat ke-22.

"Cuma saya sedikit kecewa kerana sepatutnya saya boleh menamatkan perlumbaan di tempat ke-19, tetapi ada sedikit kesilapan dilakukan.

"Saya mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang beraksi di sini," katanya kepada media selepas perlumbaan.

Manakala Hafizh berkata, dia gembira kerana dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-22. Pada aksi kelayakan semalam (Sabtu) saya menamatkan perlumbaan di tempat ke-34.

"Ia merupakan satu pengalaman berguna kepada saya dengan berlumba dengan pelumba-pelumba terbaik dunia," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain