suria

Selangor Guna Khidmat Penyerang Lain Jika Amri Tidak Cergas

KUALA LUMPUR: Selangor akan menggunakan khidmat beberapa pemain bagi menggantikan Mohd Amri Yahyah yang belum pasti diturunkan untuk perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam Sabtu.

Mohd Amri tidak bermain pada aksi pertama di Stadium Shah Alam pada Selasa selepas kerana cedera di lutut kanan ketika berdepan Perak pada suku akhir kedua di Stadium Perak.

Jurulatih P. Maniam berkata beliau harus menilai kecergasan Mohd Amri terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menggandingkan beliau dengan Mohd Fadzli Saari di bahagian serangan.

"Saya mungkin menggandingkan Mohd Fadzli Saari dengan Mohd Amri atau Rudie Ramli atau pemain penyerang yang lain untuk perlawanan esok," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Mengenai percaturan taktikal untuk perlawanan esok, Maniam mahu pemain-pemain kendaliannya menjaringkan gol awal bagi memastikan mereka tidak mempunyai tekanan.

"Kita kena ambil kesempatan untuk jaringkan gol awal supaya tidak memberi tekanan kerana bermain di tempat lawan bukan perkara mudah untuk sesebuah pasukan," katanya.

Sambil mengakui prestasi pasukan Terengganu bimbingan Irfan Bakti Abu Salim berada dalam keadaaan terbaik, beliau turut mengingatkan jentera pertahanan Selangor supaya mengetatkan kawalan ketika beraksi pada Sabtu.

"Permainan pasukan Terengganu semakin meningkat dan pemain-pemain mereka mempunyai kelajuan ketika melancarkan serangan, jadi saya mahu pemain pertahanan mengetatkan kawalan supaya gawang Selangor tidak dibolosi lawan," katanya.

Pada aksi separuh akhir pertama di Shah Alam pada Selasa, Selangor tumpas 0-2 kepada Terengganu hasil jaringan Abdul Manaf Mamat pada minit pertama dan ke-32.

Pemenang perlawanan antara Selangor dan Terengganu akan menentang pemenang antara Negeri Sembilan dan T-Team pada perlawanan akhir yang dijadual berlangsung di Stadium Shah Alam Sabtu depan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain