suria

MotoGP: Pelumba Wildcard Hafizh Syarin Tidak Letak Sasaran

KUALA LUMPUR: Berdepan saingan 39 pelumba terbaik dunia, pelumba wildcard termuda Hafizh Syarin Abdullah tidak meletakkan sasaran tertentu pada Grand Prix Motosikal (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang pada 21 hingga 23 Oktober ini.

Sebaliknya pelumba pasukan Petronas Malaysia berusia 17 tahun itu berkata objektif utamanya ialah untuk menimba pengalaman sebanyak mungkin.

"Tidak kira di mana kedudukan saya pada perlumbaan nanti, saya percaya yang saya tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana pengalaman dan pendedahan yang saya dapat, walaupun hanya dalam satu perlumbaan ini, begitu berharga," katanya dalam satu kenyataan di sini Selasa.

Beliau yang akan bertanding dalam kategori Moto2, berkata apa yang penting bagi dirinya adalah untuk memastikan peningkatan yang konsisten bermula sesi latihan pada Jumaat hingga hari perlumbaan pada Ahad.

"Saya mahu mendapatkan pengetahuan sebanyak mungkin daripada pelumba-pelumba Moto2 di mana saya percaya apa yang bakal saya peroleh dari sini akan membantu untuk memajukan karier perlumbaan saya," katanya.

Berkongsi cerita tentang persediaannya, Hafizh Syarin berkata sejak Ogos lagi beliau sudah mula menjalani latihan kecergasan fizikal bersama Rebel Bootcamp di Subang Jaya.

"Sesi latihan saya bermula pada jam 5.45 pagi ke 6.45 pagi pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat. Selain itu, pada setiap malam Selasa dan Jumaat saya akan bermain badminton dan pada hari Ahad saya akan berbasikal.

"Dengan aktiviti ini, saya berjaya meningkatkan kecergasan ke tahap yang lebih baik dan kini saya sudah cukup bersedia untuk menghadapi cabaran terbesar dalam karier saya," kata juara Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2010 kategori CP130 itu.

Hafizh Syahrin dan pelumba wildcard yang lain Mohd Zamri Baba dan Muhammad Farid Badrul Hisham akan menyertai pelumba kebangsaan Zulfahmi Khairuddin, membawa cabaran negara di Litar Sepang hujung minggu ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain