suria

Terengganu, T-Team Bakal Terima Ganjaran Jika Ke Perlawanan Akhir

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan memberi ganjaran istimewa kepada pemain bola sepak negeri itu dan pasukan T-Team jika kedua-duanya berjaya melangkah ke pertandingan akhir Piala Malaysia musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat berkata bentuk ganjaran itu akan diumumkan Menteri Besar sendiri.

"Saya yakin dan percaya kerajaan negeri akan melihat tentang soal ini (ganjaran)," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri memberi ganjaran berupa lawatan ke Eropah kepada pasukan bola sepak Terengganu setelah menjuarai Piala FA musim ini.

Rozi berkata bola sepak Terengganu melakar sejarah apabila dua pasukan dari negeri itu berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia tahun ini.

Beliau berharap kedua-duanya akan menunjukkan prestasi lebih baik serta berupaya melangkah lebih jauh lagi, dan pasukan abang adik itu bertemu pada pertandingan akhir piala berprestij tersebut.

Pasukan Terengganu akan bertandang ke Selangor manakala T-Team melayan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada perlawanan pertama separuh akhir Selasa ini.

Rozi berkata beliau berharap pemain kedua-dua pasukan, terutama yang berpengalaman, bermain dengan baik selain menyuntik semangat kepada pemain muda.

"Saya harap mereka gunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin bagi menghidupkan peluang kedua-dua pasukan ke pertandingan akhir," katanya.

Rozi, yang juga pengurus pasukan T-Team, berkata kedua-duanya bakal menurunkan barisan terbaik bagi menghadapi perlawanan separuh akhir.

Dalam pada itu, beliau berharap peminat bola sepak Terengganu akan memberikan sokongan secara profesional bagi mengelak nama baik negeri daripada tercalar.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain