suria

Mesir Kuasai Kejohanan Karate Dunia

MELAKA: Mesir muncul juara keseluruhan Kejohanan Karate Remaja dan Kadet Dunia Ketujuh yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

Mesir berjaya mengutip lapan pingat emas, tiga perak dan empat gangsa manakala Turki di tempat kedua dengan enam pingat emas, lima perak dan satu gangsa.

Jepun di tempat ketiga dengan lima emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Kejohanan empat hari yang bermula Khamis lepas dan disertai 81 negara dengan lebih 1,200 atlet, menawarkan 31 pingat emas.

Pada hari terakhir kejohanan hari ini, enam pingat emas ditawarkan iaitu empat bagi acara kumite kategori kadet bagi usia antara 14 hingga 15 tahun serta kategori kata junior dan kadet kumpulan umur 14 hingga 17 tahun.

Mesir meneruskan penguasaannya dengan merangkul dua emas hari ini, menerusi peserta lelaki bagi kategori kadet bawah 70 kilogram, Mohamed El Kotby yang menewaskan Rafik Benchikh dari Algeria dengan mata 7-2.

Kumpulan kata dari Mesir turut memenangi kategori kadet dan junior apabila mengatasi atlet Itali dengan mata 5-0.

Algeria merangkul emas pertama kejohanan menerusi Amar Guerni yang menewaskan Andrii Guzenko dari Ukraine dengan mata 5-1 dalam kategori kadet kumite bawah 63 kilogram.

Perancis, Iran dan England berkongsi pungutan emas kejohanan apabila masing-masing merangkul dua pingat berkenaan manakala Algeria, Bosnia dan Herzegovina, Hungary, Montenegro, Mexico serta Azerbaijan berkongsi pungutan satu emas.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain