suria

Skuad Memanah Yakin Kutip Tiga Emas Di Sukan Sea

KUALA LUMPUR: Malaysia yakin skuad memanah kebangsaan mampu membawa pulang sekurang-kurangnya tiga emas pada temasya Sukan SEA di Indonesia bulan depan.

Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA Indonesia Datuk Naim Mohamad berkata sandaran itu diletakkan kepada tiga pemanah acara recurve iaitu Cheng Chu Sian, Haziq Kamaruddin dan Khairul Anuar Mohamad yang telah layak ke Sukan Olimpik London 2012.

"Tiada sebab untuk skuad memanah gagal dalam misi ini memandangkan bahawa kita mempunyai pemanah bertaraf Olimpik," katanya kepada pemberita ketika melawat skuad memanah kebangsaan yang berlatih di Bukit Jalil, di sini, Jumaat.

Seorang lagi pemanah lelaki dalam acara recurve ialah Fazli Hisham Fauzi manakala Muhammad Zaki Mahazan, Mohd Kaharuddin Asah, Mohd Firdaus Isa dan Kelvin Hoo Kok Meng akan beraksi dalam acara compound.

Skuad wanita pula dibarisi Nurul Syafikah Hashim; Shahira Abd Halim; Nur Amira Mohamed dan Fairuz S.M.Rahim (bagi acara recurve), manakala Faten Nurfatehah Mat Salleh; Norizah Ishak; Saritha Cham Nong dan Nur Hayati Al-Madihah Hahsim dalam acara compound.

Naim juga menasihatkan semua pengurus pasukan agar menghantar borang pengecualian penggunaan ubat (TUE) dalam masa terdekat bagi mengelak kesulitan ketika memulakan cabaran di Indonesia kelak.

"Pengurus pasukan perlu segara menghantar borang TUE kerana ianya penting bagi memudahkan proses pemeriksaan doping di Indonesia nanti dan saya harap mereka mengambil berat tentang perkara ini," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain