suria

Pesaka Sasar Dua Pingat Emas Di Indonesia

KUALA LUMPUR: Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) hanya mensasarkan dua pingat emas pada Sukan SEA Indonesia November ini memandangkan pesilat tuan rumah mempunyai kelebihan bertanding di tempat sendiri.

Pengurus pasukan Ismail Syed Mohammad meletakan harapan emas kepada pesilat elit kebangsan iaitu Mohd Fauzi Khalib, Faizal Abdullah, Hafiz Mahari dan Emy Latip memandangkan mereka adalah pemenang pingat emas Sukan SEA di Laos pada 2009.

"Kita tidak meletakkan sasaran seperti kejayaan pada temasya di Laos pada 2009 dengan mendapat empat emas kerana mengambil kira faktor Indonesia yang merupakan salah satu negara nusantara yang tidak kurang hebatnya dalam acara silat selain Vietnam," katanya.

Ismail berkata seramai 25 pesilat kebangsaan yang terdiri daripada 16 skuad lit dan sembilan skuad pelapis akan menggalas cabaran negara dalam 18 acara ada temasya dwitahunan tersebut.

Katanya pesilat elit dan pelapis telah beraksi cemerlang dalam tiga kejohanan penting pada tahun ini iaitu ketika Kejohanan Silat Asia di Singapura, Kejohanan Silat Terbuka Belgium dan Kejohanan Pencak Silat Asia di Cheras, Kuala Lumpur.

"Mereka telah beraksi dengan cemerlang, seperti pesilat Fauzi Khalib yang berjaya meraih pingat emas di Belgium dan Singapura," katanya.

Ismail berkata skuad akan menjalani latihan di Cameron Highlands sebagai persediaan akhir selama dua minggu bermula 15 Oktober ini sebelum berlepas ke Jakarta pada 7 November ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan SEA Indonesia Datuk Naim Mohamad berkata beliau akan membincangkan beberapa aspek penting dengan Institut Sukan Negara (ISN) sebelum meletakkan sasaran pungutan pingat.

Naim, sebelum ini, meramalkan kontinjen Malaysia mampu meraih 60 pingat emas pada temasya sukan itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain