suria

Skuad Takraw Diminta Raih Kembali Emas sukan SEA

KUALA LUMPUR: Walaupun prestasi skuad sepak takraw negara kini umpama 'yoyo', namun Majlis Sukan Negara (MSN) masih percaya pemain negara mampu mencipta kejutan pada Sukan SEA Indonesia November ini.

Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong berkata skuad kebangsaan perlu kembali bangkit di Indonesia selepas meraih emas buat kali terakhir pada temasya Sukan SEA Manila 2005.

"Saya yakin pemain kita mampu melakukan sesuatu walaupun kebelakangan ini keputusan daripada perlawanan yang mereka sertai tidak begitu menggalakkan.

"Kalau pasukan kita nombor dua, orang kata kita gagal... semua orang mahu skuad negara menjuarai kesemua pertandingan," katanya kepada pemberita selepas meninjau latihan skuad sepak takraw kebangsaan di Bukit Jalil pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau meminta pemain meningkatkan latih tubi dan memberi perhatian optimum terhadap permainan, terutama acara regu sebelum menyertai temasya berkenaan.

Jurulatih pasukan Jamaluddin Hassan berkata senarai penuh pemain ke Indonesia akan diumum selepas atlet selesai menyertai kem latihan pusat kelolaan MSN dari 1 hingga 4 November.

"Seramai 12 pemain lelaki dan sembilan wanita dipilih... kita tidak maklumkan sekarang kerana tidak mahu prestasi mereka merudum sebelum temasya bermula," katanya.

Beliau berkata skuad kebangsaan akan berlatih di Lumut dari 14 hingga 30 Oktober sebagai persediaan terakhir sebelum ke Indonesia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain