suria

Pemain Nombor Satu Dunia, Yani Tseng Hadapi Saingan Sukar

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia, Yani Tseng dari Taiwan tidak mengharapkan laluan mudah apabila bersaing dengan para pemain golf wanita terbaik di dunia pada edisi kedua kejohanan Sime Darby LPGA Malaysia 2011.

Pemain berusia 22 tahun itu yang telah memenangi lima kejohanan LPGA tahun ini berkata dia perlu meningkakan lagi tahap permainannya sekiranya mahu setanding dengan pemain-pemain terkemuka yang lain.

"Semua orang punya peluang menang dalam pertandingan. Mereka semua adalah pemain besar dari seluruh dunia dengan kerana itu ia bukanlah mudah.

"Anda hendaklah bermain dengan baik dalam kejohanan itu dan jika bernasib baik mendapat lebih banyak peluang. Namun, anda hendaklah menunjukkan yang sebaik mungkin," kata Tseng, pemain termuda pernah mencapai lima kali kejuaraan utama dalam LPGA.

Sudah pun 36 minggu berada di kedudukan barisan teratas pemain wanita golf sedunia, Tseng yang berkongsi rahsia di sebalik prestasi baiknya berkata dia cuba tidak memberi tekanan terhadap diri sendiri untuk memperoleh mata atau memenangi kejohanan.

"Saya cuba beri tumpuan dalam setiap kejohanan tetapi sekiranya tidak bermain dengan baik minggu ini, minggu depan masih ada. Yang paling penting, setiap kali saya menunjukkan yang terbaik dan tahun ini mahu berseronok dan senyum lebih," katanya.

Tseng akan bersaing dengan pemain-pemain LPGA teratas di dunia seperti pemain tempat kedua Suzann Pettersen dari Norway, Cristie Kerr (Amerika Syarikat tempat ketiga dunia), Na Yeon Choi, Korea Selatan (tempat keempat dunia), Jiyai Shin juga Korea Selatan (tempat kelima dunia) dan Ai Miyazato, Jepun (tempat ketujuh).

Pemain terkemuka lain termasuklah Brittany Lincicome (tempat kelapan), Paula Creamer (kesembilan) dan Stacy Lewis (tempat ke-10), kesemua mereka dari Amerika Syarikat.

Pemain Malaysia Kelly Tan, Jean Chua, Ainil Johani dan Aretha Pan juga bermain merebut kejuaraan pada tahun ini.

Kejohanan tersebut yang menawarkan sejumlah US$1.9 juta (kira-kira RM6.04 juta) hadiah wang tunai akan berlangsung di kelab Kuala Lumpur Golf and Country (KLGCC) dari 13 hingga 16 Oktober ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain