suria

Malaysia Beraksi Dalam Piala Futsal Tiga Negara Di Brunei Ahad Ini

KUALA LUMPUR: Kelab futsal terulung dari tiga negara Asean - Malaysia, Brunei dan Singapura - akan berentap di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam Ahad ini untuk menjuarai kejohanan Piala Futsal Tiga-Negara Red Bull yang diadakan buat julung kali. Malaysia diwakili oleh juara Red Bull Futsal 5 Grand Final 2011 iaitu LTS FC; Singapura pula oleh Team B.A manakala negara tuan rumah oleh QAF FC B.

Kesemua pasukan akan berhimpun di Stadium Tertutup di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas dalam kejohanan sehari itu.

Pengarah Urusan Red Bull Malaysia Jay Sam memberitahu Bernama pada Selasa, kejohanan itu bertujuan menggalakkan hubungan lebih akrab antara ketiga-tiga negara berjiran dan meningkatkan standard keseluruhan futsal di rantau ini.

Kejohanan itu diiktiraf oleh Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) dan Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD). Ia menawarkan wang tunai berjumlah B$8,000(RM19,480.23).

Juara akan menerima wang tunai B$4,500 (RM10,950.63) dan piala pusingan selain trofi dan medal, naib juara B$2,250 (RM5,477.73), manakala pasukan di tempat ketiga pula akan membawa pulang B$1,250 (RM3,043.91) selain medal.

Kejohanan itu akan diadakan secara round-robin dan pemain akan beraksi selama 20 minit bagi setiap separuh masa, selaras dengan peraturan Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA).

Perlawanan pertama antara QAF FC B dan Team BA akan bermula pada 9.30 pagi diikuti oleh LTS FC menentang Team B.A pada 5 petang dan perlawanan ketiga antara LTS FC dan QAF FC 'B' pula akan berlangsung pada 9.30 malam.

Sam berkata penganjuran Kejohanan Piala Tiga Negara itu akan diadakan secara bergilir-gilir antara tiga negara yang mengambil bahagian.

LTS FC dari Pulau Pinang dinobatkan sebagai juara Futsal 5 Grand Final yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. - BERNAMA

Artikel Lain