suria

Hotel Permai Taja Pasukan Hazwan Hazim

KUALA TERENGGANU: Sebagai memenuhi tanggungjawab sosialnya, Hotel Permai, salah sebuah hotel terkemuka di Terengganu, menaja pasukan pelumba kapal layar tempatan, Pasukan Hazwan Hazim.

Pengurus Besar Hotel Permai Azman Ali berkata penajaan itu bertujuan memberi semangat kepada pasukan dari Terengganu untuk menjuarai Kejohanan Match Racing Malaysia (MMRC) yang akan berlangsung 7 hingga 10 Okt ini di Pulau Duyong, di sini.

Juara MMRC sekaligus akan merebut wildcard untuk ke kejohanan Piala Monsun yang berlangsung di lokasi sama.

Azman, yang juga Pengurus Pasukan lumba kapal layar yang diketuai Hazwan Hazim Dermawan, berkata ini pertama kali Hotel Permai menaja pasukan lumba kapal layar yang mewakili negeri Terengganu dengan jumlah tajaan lebih RM20,000.

"Setakat ini hanya ada dua pasukan dari Terengganu iaitu pasukan Nurul Ain Md Isa yang ditaja Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa dan pasukan Hazwan tajaan Hotel Permai," katanya selepas melancarkan kumpulan itu di Pulau Duyong, di sini.

Dengan penajaan itu, pasukan Hazwan akan dikenali dengan nama Permai Match Racing Team.

Selain Hazwan Hazim, 23, empat lagi krunya ialah Nik Asyraf Qaedi Nik Azizan, 22, Syed Ahmad Syahmi Syed Ahmad Hilmi, 22, Mohd Hazarul Muhammad, 29 dan Mohd Hafizi Roslee, 23.

Sementara itu, Hazwan Hazim ketika ditemui Bernama berkata pasukannya akan berusaha keras bagi mendapatkan tiket wildcard untuk kelayakan secara utomatik ke kejohanan Piala Monsun selain merampas kembali kejuaraan MMRC yang pernah dimenanginya pada 2009.

"Pada saya, pasukan yang paling mencabar ialah juara bertahan, pasukan Jeremy Koo serta juara MMRC 2008 Nurul Ain. Apapun, kami akan cuba yang terbaik untuk sekali lagi mencipta kemenangan," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain