suria

Skuad Boling Paralimpik Sasar Pertahankan Pingat Emas

KUALA LUMPUR: Skuad tenpin boling paralimpik kebangsaan yakin mampu mempertahankan dua pingat emas pada Kejohanan Boling Dunia Persekutuan Sukan Cacat Penglibatan Antarabangsa (IBSA) edisi ke-4 di Sunway Megalanes yang bermula Jumaat ini.

Ketua jurulatihnya Steven Teng berkata sandaran emas diletakkan kepada dua atlet iaitu Muhamad Suhaili Abdul Hamid bagi kategori cacat penglihatan B3 dan Kuizham Kuharum dalam kategori B2 untuk mempertahankan pingat emas pada edisi 2007 di Sydney, Australia.

"Selain dua atlet harapan itu, Jason Soo juga menjadi sandaran dalam kategori B3," katanya kepada pemberita selepas sidang media mengenai kejohanan tersebut di sini, Selasa.

Malaysia akan diwakili oleh 16 atlet pada kejohanan sembilan hari tersebut yang turut disertai oleh 13 negara dan antaranya ialah juara bertahan Australia, Amerika Syarikat, Finland, Britain, Republik Czech, Singapura dan Thailand.

Teng, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Tenpin Boling Kuala Lumpur (KLTBA), berkata cabaran terhebat untuk pemain negara mungkin datang daripada negara-negara bukan Asia seperti Eropah dan Amerika Syarikat.

"Hal ini kerana kita telah bertemu dengan pasukan seperti Taiwan, Korea dan Jepun pada Sukan Asia Paralimpik tahun lepas di Guangzhou, China.

"Namun untuk pasukan Eropah dan Asia, kita tidak mengetahui kemampuan mereka kerana kali terakhir bertemu dengan mereka ialah pada kejohanan dunia empat tahun lepas," katanya.

Sementara itu, Muhamad Suhaili yang ditemui berkata beliau mensasarkan untuk mengekalkan pingat emas yang dimenanginya empat tahun lepas.

"Itu memang sasaran saya kerana jurulatih (Dzulkifli Sapian dan Micky Un) mahu semua atlet yang bertanding kali ini memberikan persembahan mereka yang terbaik pada kejohanan ini sebagai tiket ke Sukan SEA di Indonesia November ini," katanya.

Bagi Soo pula, beliau berazam akan cuba memberi persembahan yang terbaik pada kejohanan yang disertainya buat kali kedua.

"Pada kejohanan empat tahun lepas, saya tidak memenangi sebarang pingat dan pada kali ini, saya mahu membuktikan keupayaan saya dengan menyumbangkan pingat tidak kira apa warna kepada skuad negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain