suria

Malaysia Anjur Kejohanan Kabaddi Pantai Remaja Asia Tahun Depan

SUNGAI PETANI: Malaysia akan menganjurkan Kejohanan Kabaddi Pantai Remaja Asia yang dijangka disertai 30 negara tahun hadapan, setelah tahun ini terpilih sebagai tuan rumah Kejohanan Kabaddi Remaja Asia.

Tanpa menyatakan 30 negara berkenaan, Presiden Persatuan Kabaddi Malaysia Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kini pihaknya dalam proses menghantar surat jemputan kepada 30 buah negara Asia berkenaan supaya menghantar wakil untuk menyertai kejohanan kabaddi itu nanti.

Beliau berkata kejohanan kabaddi berkenaan akan melibatkan peserta berumur 17 tahun ke bawah dan ia merupakan fenomena baru dalam arena sukan kabaddi di negara ini yang membabitkan gelanggang pantai.

"Kejohanan ini (kabaddi pantai) yang pertama kali di Malaysia dan objektif kita laksanakan kejohanan ini adalah untuk memberi peluang kepada semua peringkat umur melibatkan diri dalam arena sukan kabaddi ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kejohanan Kabaddi Remaja Asia 2011, yang berlangsung tiga hari bermula Khamis..

Shahidan berkata pihaknya akan memilih Pulau Langkawi sebagai lokasi kejohanan kabaddi itu kerana mudah untuk mencari pantai yang sesuai untuk menjalankan perlawanan.

Katanya Majlis Sukan Negara memberi peruntukan RM20,000 untuk penganjuran kejohanan kabaddi berkenaan dan yang selebihnya akan dibiayai oleh kerajaan negeri Kedah.

Beliau juga berharap sukan kabaddi dijadikan kokurikulum di peringkat sekolah mahupun universiti memandangkan sukan tersebut merupakan sukan mudah dan tidak melibatkan kos yang tinggi.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Kedah Dr Ismail Salleh yang mewakili Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak merasmikan kejohanan itu, berkata kerajaan negeri menyambut baik cadangan Persatuan Kabaddi Malaysia untuk menganjurkan kejohanan kabaddi itu di Kedah.

Beliau berkata kerajaan negeri akan memberi kerjasama yang sewajarnya dalam hal menyediakan segala kemudahan infrastruktur sukan kabaddi yang diperlukan.

"Kita akan memberi perhatian terhadap kejohanan kabaddi tersebut dan berusaha menaik taraf segala kemudahan yang perlu ada sebab ia juga sebagai salah satu inisiatif untuk memperkenalkan industri sukan pelancongan sekaligus dapat menarik pelancong ke Kedah," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Annuar Restui Sathianathan Latih ATM

Artikel Lain