suria

Lebih 200 Peserta Dijangka Sertai Kejohanan Sukan Lasak Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Lebih 200 peserta dijangka mengambil bahagian pada Kejohanan Sukan Lasak Kebangsaan yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Bukit Kiara di sini dari 1 hingga 2 Oktober ini.

Presiden Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (Mesa), Tan Sri G. Darshan Singh berkata kejohanan tersebut akan mempertandingkan acara basikal BMX, papan luncur beroda, kasut roda dan memanjat dinding.

"Objektif utama penganjuran adalah untuk memperkenalkan sukan lasak kepada masyarkat Malaysia.

"Kita harap satu hari nanti sukan lasak akan diterima orang ramai seperti mana sukan popular lain," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, Khamis.

Beliau berkata mereka yang berminat boleh menyertai kejohanan itu secara percuma.

Darshan yang juga Timbalan Presiden Persatuan Sukan Ekstrem Asia (AXF) dan Timbalan Persekutuan Papan Luncur Antarabangsa (ISF) berkata kejohanan tersebut juga menjadi medan pemilihan atlet negara ke Kejohanan X-Sport Terbuka Indonesia 2011 (IOXC 2011) yang akan berlangsung di Palembang, Indonesia dari 13 hingga 15 Oktober depan.

"Juara bagi setiap acara akan mendapat hadiah berupa wang tunai RM500, pingat dan juga tiket ke IOXC 2011," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain