suria

Piala Malaysia: Selangor, Sabah Layak Ke Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Selangor dan Sabah berjaya merebut slot terakhir ke perlawanan suku akhir setelah menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan akhir peringkat kumpulan Piala Malaysia malam Selasa.

Dengan kemenangan tersebut, Selangor dan Sabah mengiringi Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Felda United dan T-Team yang telah layak ke suku akhir.

Perlawanan suku akhir pada 4 Oktober ini, menyaksikan Selangor menentang Perak, Felda United bertemu Negeri Sembilan, Terengganu bertemu Kelantan dan Sabah berdepan dengan pasukan kelab T-Team.

Misi ke-33 Selangor kembali bersinar apabila pasukan yang terkenal dengan jolokan 'The Red Giant' itu mengalahkan Kuala Lumpur 2-1 dalam percaturan akhir kumpulan D di Stadium Shah Alam.

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan hasil tandukan ketua pasukan Kuala Lumpur, Muhammad Shahrom Abdul Kalam pada minit ke-37, namun keadaan kucar kacir di hadapan gawang gol Kuala Lumpur membuka peluang kepada Mohd Razman Roslan menjaringkan gol penyamaan Selangor pada minit ke-66.

Gol kemenangan Selangor diperolehi menerusi tandukan kapten, Mohd Amri Yahyah pada minit ke-76.

Sementara itu, Sabah yang beraksi dalam kumpulan A turut mara ke pusingan suku akhir setelah berjaya mengalahkan Johor 4-1 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin.

Empat gol Sabah dijaringkan oleh Razlan Oto pada minit ke-31, Mohd Rozaimi Abdul Rahman (minit ke-60), Radzi Mohd Hussin (minit ke-66) dan Mohd Farid Ideris (minit ke-81).

Manakala gol saguhati Johor disumbangkan oleh Mohd Fedzuan Nawi pada minit ke-53.

Dalam satu saingan kumpulan A, impian Kedah untuk melangkah ke suku akhir ranap setelah seri 1-1 kepada Perak di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Gol Kedah hadir seawal minit keenam hasil jaringan Mohd Faizal Abu Bakar, manakala Perak dapat meyamaakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Mohd Shafiq Jamal pada minit ke-52.

Dalam saingan kumpulan C pula, Kelantan muncul juara kumpulan apabila mengatasi Felda United 2-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-4, Kota Baharu menerusi Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-62 dan ke-71.

Johor FC yang turut beraksi dalam Kumpulan C pula menumpaskan Sarawak 3-1 di Stadium Majlis Pembandaran Pasir Gudang.

Gol Johor FC dihasilkan oleh Mohd Akmal Mohd Noor (minit ke-8 dan 75) dan Mohd Riduwan Maon pada minit ke-43, manakala gol saguhati Sarawak diperolehi menerusi jaringan Bobby Gonzales pada minit ke-55.

Dalam saingan Kumpulan D, T-team mencatat kemenangan besar 6-0 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Enam gol T-Team dijaringkan oleh Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-17, Zairo Anuar Zailani (minit ke-38), Norfarhan Mohammad (minit ke-52), Mohd Badrul Hasani Abdul Rahman (minit ke-78), Norfazly Alias (minit ke-81)dan Shamsul Kamal Mohamad (minit ke-87).

Dalam saingan kumpulan B pula, Fauzan Dzulifli menghasilkan gol tunggal pada minit ke-75 untuk membantu Selangor PKNS jaya menang tipis 1-0 kepada Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Manakala Terengganu yang turut beraksi dalam kumpulan B terikat tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Perlawanan tersebut terpaksa dihentikan selama 40 minit kerana hujan ribut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wusyu Sasar Tiga Emas Sukan SEA

Artikel Berikut

Artikel Lain