suria

Pemain Muda Negara Timba Pengalaman Dalam Tenis Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Kekalahan kepada pilihan ketiga di pusingan pertama dalam acara beregu Kejohanan Tenis ATP Terbuka Malaysia di sini hari ini, tidak melemahkan semangat pasangan muda negara Ahmed Deedat Abdul Razak dan Ariez Elyaas Deen Heshaam.

Malah mereka lebih berazam untuk menjadi pemain profesional dan bermain pada peringkat antarabangsa.

"Ia merupakan pengalaman yang mengagumkan, untuk merasai suasana, berada bersama-sama pemain terbaik. Ia membuatkan anda untuk berusaha lebih keras untuk sampai ke tahap mereka dan menjadikannya (tenis) karier anda," kata Ariez Elyaas, 17, yang turut menyertai kejohanan tahun lalu.

Perasaannya dikongsi Ahmad Deedat, 16, yang pertama kali menyertai kejohanan ini. "Ini yang saya mahukan. Bermain dalam kejohanan dan menjadi pro," katanya.

Pasangan ini yang menyerai kejohanan secara wild card kalah 2-6, 2-6 kepada pasangan Frantisek Chermak (Chezhoslovakia) dan Filip Polasek (Slovakia) pada kejohanan di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Jurulatih Albert Portas berkata pasangan tersebut bermain baik tetapi terdapat banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki kerana kedua-duanya masih muda.

"Mereka perlu bermain lebih banyak kejohanan dan menentang pemain lebih kuat supaya mereka tahu tahap tenis yang dimainkan dalam kejohanan seperti ini," kata bekas pemain 20 terbaik dunia itu.

Portas berkata selain latihan kuat, kedua-dua pemain ini perlu menetapkan sasaran dan melatih diri sendiri menguatkan fizikal dan mental.

"Malaysia mempunyai ramai pemain berpotensi dan boleh bermain di kejohanan antarabangsa atau menajdi pro. Apa yang kurang kepada mereka ialah kejohanan untuk menentang pemain lebih handal bagi menjadi pemain lebih baik," katanya yang berasal dari Sepanyol.

Beliau berkata Persatuan Lawn Tenis Malaysia sedang merancang untuk membawa Ariez Elyaas dan Ahmed Deedat ke Barcelona menjelang penghujung tahun ini untuk bermain di kejohanan di sana. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wusyu Sasar Tiga Emas Sukan SEA

Artikel Berikut

Artikel Lain