suria

Seminar FIFA Tingkatkan Kualiti Penjagaan Gawang

PETALING JAYA: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang mengendalikan seminar empat hari bermula Isnin untuk meningkatkan mutu penjagaan gawang di kejohanan Piala Dunia 2014 akan datang di Brazil.

Jurulatih kursus FIFA, Pat Bonner dari Ireland berkata seminar itu akan menggunakan pertandingan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan sebagai kes kajian untuk menganalisis aliran semasa penjagaan gawang, teknik terbaharu, tektik dan penambahbaikan tahap kemahiran.

"Peserta akan didedahkan dan belajar mengenali perbezaan di antara kerja seorang penjaga gol, pelatih dan jurulatih.

"Ia tiga perkara berlainan dan membolehkan peserta berkongsi pandangan mengenai pengetahuan umum secara amalan," katanya kepada Bernama semasa berlangsungnya Seminar Penjagaan Gawang FIFA di sebuah hotel di sini, Isnin.

Bonner yang juga pelatih kebangsaan di Pusat Latihan Kebangsaan Kejurulatihan dan Latihan Ireland untuk penjaga gol, berkata seminar itu menjadi titik permulaan kepada peserta menambah kemahiran mereka, sikap dan ciri-ciri sifat sebagai pelatih di tempat sendiri.

Seramai 30 peserta dari 21 buah negara termasuk Australia, China, Perancis, Jepun, Vietnam, Thailand dan England menghadiri seminar itu yang diadakan di hotel PJ Hilton, Petaling Jaya.

Selain seminar, peserta juga berpeluang mengamalkan pengetahuan diperolehi di atas padang buatan di Bukit Jalil, melatih penjaga gol muda bawah umur 12 tahun dari kelab-kelab sekitar Lembah Kelang dan juga menganalisis perlawanan Piala Malaysia antara Selangor dengan Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, malam ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wusyu Sasar Tiga Emas Sukan SEA

Artikel Berikut

Keputusan Bundesliga

Artikel Lain