suria

Sasaran Pingat Emas Akan Diketahui Menjelang Oktober

KUALA LUMPUR: Sasaran pingat emas untuk kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-26 di Indonesia November ini akan hanya diketahui awal Oktober kerana negara tuan rumah belum memuktamadkan senarai akhir acara yang akan dipertandingkan pada temasya sukan dwi-tahunan itu.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar berkata menurut peraturan Sukan SEA, mana-mana acara sukan pada temasya itu mesti ditandingi oleh sekurang-kurangnya empat negara.

"Tetapi masalahnya ialah kebanyakan negara bertanding belum mengesahkan penyertaan mereka dalam beberapa acara, oleh itu kita tidak tahu peluang kita dalam sukan itu," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata tarikh akhir bagi negara tuan rumah untuk memuktamadkan jumlah sukan yang dipertandingkan pada temasya itu ialah 7 Okt.

Tunku Imran berkata beberapa persatuan sukan kebangsaan telah mengesahkan penyertaan atlet mereka ke Sukan SEA Indonesia pada mesyuarat jawatankuasa pemilihan pada Isnin.

Antara persatuan sukan yang hadir pada Isnin ialah petanque, olahraga, angkat berat, akuatik, kempo dan bola tampar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wusyu Sasar Tiga Emas Sukan SEA

Artikel Berikut

Keputusan Bundesliga

Artikel Lain