suria

Penerjun Negara Beraksi Cemerlang

KUALA LUMPUR: Penerjun kebangsaan, Yeoh Ken Nee berjaya menempah slot ke temasya Sukan Olimpik 2012 setelah meraih pingat emas dalam acara 3M papan anjal lelaki pada Kejohanan Terjun Piala Asia keempat di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil pada Ahad.

Yeoh, 28, memenangi pingat emas setelah berjaya mengumpul 456.55 mata mengatasi rakan senegara Ooi Tze Liang yang memperoleh pingat perak dengan kutipan 387.50 mata.

Pingat gangsa bagi acara itu menjadi milik Timothy Lee dari Singapura dengan catatan 310 mata.

Kee Nee berkata beliau pada awalnya tidak meletakkan sebarang sandaran pingat, namun tidak menyangka dapat meraih pingat emas setelah penerjun dari China menarik diri pada saat akhir.

"Saya rasa sungguh gembira kerana dengan kejayaan hari ini membolehkan saya beraksi sekali lagi di Sukan Olimpik," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

"Ia satu peluang yang cukup besar bagi saya dan akan berusaha dengan bersungguh-sungguh nanti," katanya.

Kee Nee sebelum ini pernah layak ke Sukan Olimpik 2000 yang berlangsung di Sydney, Australia tetapi gagal memperoleh sebarang pingat dalam acara sama.

Turut layak ke Olimpik London ialah gandingan mantap penerjun negara Ooi Tze Liang/Pardika Indoma Pamg yang memperoleh pingat emas dalam acara 10M serentak lelaki dengan kutipan 374.34 mata.

Pingat perak untuk acara tersebut menjadi milik gandingan penerjun China, Wang Anqi dan Li Di dengan catatan 371.70 mata.

Kejohanan tiga hari yang bermula Ahad disertai enam negara iaitu China, Singapura, Indonesia, Macau, Hong Kong dan Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Liga Bola Sepak Eropah

Artikel Lain