suria

PAFA Cadang Pinda Perlembagaan

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) bercadang meminda perlembagaannya agar selaras dengan perlembagaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengerusinya Datuk Zainol Fadzi Pahardin berkata antara pindaan yang akan dipertimbang ialah melanjutkan tempoh pemimpin persatuan memegang jawatan berbanding dua tahun sekarang.

"Pemimpin persatuan mungkin dipilih tiga atau empat tahun sekali supaya mereka mampu membangunkan persatuan dalam jangka masa lebih panjang sedangkan jangka masa dua tahun sekali pemilihan sebelum ini adalah terlalu pendek," katanya pada sidang media, di sini Selasa.

Selain itu katanya, pindaan juga akan memastikan segala unsur yang menggalakkan penyalahgunaan kuasa digugurkan termasuk sewaktu pemilihan jawatankuasa baru.

Berdasarkan peraturan FAM, anggota jawatankuasa persatuan tidak boleh mengundi bagi mengelakkan hanya kelompok mereka menang pada pemilihan, kata Zainol.

Zainol berkata pindaan itu juga akan membolehkan Pafa menjana pendapatan sendiri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan negeri.

Kedudukan kewangan yang kukuh persatuan dapat membantu membiayai kos kegiatan bola sepak peringkat daerah yang boleh menyediakan pemain pelapis, katanya.

Ini sekali gus dapat menangani isu kebergantungan kepada pemain import yang mana pada masa ini Pafa bergantung kepada 40 peratus pemain luar, kata Zainol.

Beliau berkata masa juga sudah tiba bagi persatuan bola sepak itu membuka mata dan mengasuh bakat muda sebagai pelapis pemain negeri dan juga kebangsaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Evra Anggap The Blues Saingan Utama

Artikel Lain