suria

Vietnam Benam Impian Skuad Malaysia

KUALA LUMPUR: Impian Malaysia untuk mencipta sejarah pada Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 19 Tahun tidak kesampaian apabila kalah tipis 1-2 kepada Vietnam pada perlawanan separuh akhir di Stadium Aung San, Yangon, Myanmar, Isnin.

Menurut laman web AFF, penyerang berbisa Nguyen Xuan Nam menjaringkan dua gol untuk membantu Vietnam melangkah ke final menentang pilihan utama Thailand, Rabu ini.

Vietnam, yang mengekalkan rekod tanpa kalah pada saingan peringkat kumpulan, membuka tirai jaringan menerusi rembatan jarak jauh dari 25 meter oleh Nguyen pada minit ke-37.

Bagaimanapun, Malaysia berjaya membendung gerakan pantas pemain Vietnam dan memberi saingan sengit sebelum menyamakan kedudukan menerusi Nur Areff Kamaruddin pada minit ke-41.

Vietnam bangkit semula pada babak kedua sebelum Nguyen muncul wira pasukan apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-79 selepas menyambut hantaran lambung dari tendangan percuma pemain gantian Don Hung Dung.

Dalam satu perlawanan separuh akhir di gelanggang Pusat Latihan Remaja, Thailand mengatasi tuan rumah Myanmar 2-1.

Malaysia akan berdepan dengan Myanmar pada perlawanan penentuan tempat ketiga, Rabu ini.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain