suria

Piala Malaysia: Felda United Ungguli Kumpulan C

PETALING JAYA: Pasukan kelab Felda United mencerahkan peluang ke suku akhir Piala Malaysia apabila mengekalkan rekod tanpa kalah setelah seri 1-1 dengan Johor FC pada perlawanan kumpulan C di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, malam Ahad.

Keputusan seri itu membolehkan Felda United menungguli kumpulan dengan 10 mata, diikuti rapat oleh juara bertahan Kelantan dengan ketinggalan satu mata selepas empat perlawanan.

Bagaimanapun, Johor FC menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-35 menerusi tandukan Mohd Izuan Jarudin, hasil sepakan percuma oleh Mohd Khairul Ismail dari luar kotak penalti.

Tertekan dengan jaringan tersebut, skuad anak didik E.Elavarasan bangkit mencari penyamaan namun benteng pertahanan Johor FC dilihat kebal hingga babak pertama tamat.

Pemburuan gol penyamaan berhasil selang babak kedua berlangsung menerusi tandukan Mohd Azrul Ahmad hasil sepakan sudut yang diambil oleh Abdul Ghani Abdul Rahman pada minit ke-62.

Sementara itu di Kota Baharu, Kelantan berjaya meraih tiga mata penuh apabila menewaskan Sarawak 4-0 di Stadium Sultan Mohammed ke-IV.

Kesebelasan utama anak didik M.Karathu, bagaimanapun, berjaya membangkitkan semangat penyokongnya yang kecewa dengan persembahan pada separuh masa pertama untuk menghasilkan kesemua gol pada babak kedua.

Gol sulung yang berjaya menyuntik semangat Skuad Kijang itu dijaringkan oleh ketua pasukan Mohd Badhri Radzi pada minit ke-79 hasil gerakan bersama Shakir Shaari.

Gol kedua dihasilkan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-87, hasil umpanan dari Mohd Badhri, diikuti seminit kemudian oleh pemain gantian Danial Fadhzley Abdullah.

Kelantan melabuhkan tirai jaringan oleh Mohd Badhri pada minit ke-91 masa kecederaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Yuzy Puas Hati Aksi Zaqwan

Artikel Berikut

Arsenal Terus Ditimpa Malang

Artikel Lain