suria

PAFA Mahu Kelab Penyokong Bola Sepak Perak Bergabung

IPOH: Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) Mohd Nizar Zakaria pada Ahad berkata sebuah badan induk perlu diwujudkan bagi menggabungkan semua kelab penyokong bola sepak Perak.

Beliau berkata usaha itu merupakan satu transformasi yang mampu mengubah landskap bola sepak negeri kerana selain memberikan input kepada Pafa, gabungan ini secara tidak langsung mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan sukan itu.

"Kita akan jadi lebih kuat sekiranya duduk di bawah satu bumbung. Dengan ahli yang ramai dan pelbagai kepakaran, saya yakin gabungan ini kelak boleh menyumbang kepada pemilihan pemain.

"Mereka boleh membantu pengurusan Pafa di dalam soal pemilihan pemain dengan membuat cadangan terus. Ini kerana peranan kelab penyokong ini sebenarnya amat besar dan boleh mempengaruhi keputusan perlawanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Kelab Peminat Bolasepak Perak (KPBP) ke-13 di sini.

Mohd Nizar berkata kini terdapat beberapa kelab yang masing-masing membawa haluan sendiri walaupun tujuan utama adalah menyokong pasukan Perak dan pembangunan sukan berkenaan.

Selain dua kelab peringkat negeri, terdaspat beberapa lagi kelab penyokong yang bergerak di peringkat daerah dan sebuah kelab yang bergerak di Kuala Lumpur.

Mohd Nizar berkata peranan kelab penyokong kepada Pafa dan juga pengurusan bola sepak dan stadium adalah penting kerana kerjasama mereka mengumpul peminat dan memastikan disiplin seperti membantu menguatkuasa larangan membawa masuk dan membakar mercun di dalam stadium.

"Tidak dinafikan ia hak individu tetapi kesan dari membakar mercun boleh menyebabkan permainan dihentikan dan lebih buruk persatuan akan didenda kerana sikap segelintir penyokong itu,"katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain