suria

Negeri Sembilan Rebah Di Tangan PKNS

KUALA LUMPUR: Hasrat Negeri Sembilan untuk selesa melangkah sebelah kaki ke suku akhir tergugat apabila kalah 0-2 kepada pasukan kelab PKNS Selangor pada perlawanan kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam Sabtu.

Ini merupakan misi membalas dendam skuad PKNS setelah pernah kalah 1-2 kepada skuad 'Hoben Jang Hoben' di laman sendiri pada 6 Sept lepas.

Gol PKNS dijaringkan Fauzan Dzulkifli pada minit ke-48 dan Norhisham Hassan pada minit ke-58 untuk menambah tekanan kepada anak didik Azraai Khor Abdullah sehingga tamat perlawanan.

Kekalahan Negeri Sembilan, yang juga naib juara Piala Malaysia musim lepas, itu membuka ruang buat juara Piala FA musim ini, Terengganu dengan menyamakan kedudukan sembilan mata hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.

Gol tunggal Terengganu dijaringkan oleh Mohd Ashaari Samsudin pada minit ke-33 hasil hantaran Abdul Hadi Yahaya di dalam kotak penalti untuk membolehkan skuad penyu mengutip tiga mata mengalahkan Sime Darby 1-0 pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dalam saingan Kumpulan D, T-Team merampas kedudukan tangga teratas kumpulan dari Kuala Lumpur apabila mengatasi juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor 2-1 di Stadium Shah Alam.

Walaupun pasukan The Red Giants terlebih dahulu berada di hadapan seawal minit ke-14 hasil jaringan Mohd Amri Yahyah sehingga babak pertama tamat, namun T-Team bagai mendapat semangat pada babak terakhir apabila pemainnya Mohd Norfarhan Muhammad menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-81.

Selang enam minit kemudian, Zairo Anuar Zailani menjaringkan gol kemenangan untuk memastikan tiga mata penuh.

Sementara itu, aksi hambar oleh Kuala Lumpur nyata memberi peluang kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mendapat satu mata setelah seri tanpa jaringan, 0-0 pada aksi di Stadium Selayang.

Aksi kumpulan A pula menyaksikan Kedah dipaksa bekerja berhempas-pulas sebelum terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 3-3 menentang Johor pada di Stadium Darul Aman, Alor Star.

Dua gol Kedah dijaringkan oleh Mohd Khyrill Muhymeen pada minit ke-28 dan 71 dan satu jaringan oleh Badrol Bakhtiar (min-83) manakala gol Johor dijaringkan oleh Mohd Noraslan Makhtar (min-67), Mohd Ridzuan Nawi (min-69) dan Ashadi Yusoff pada minit ke-72.

Dalam perlawanan kumpulan sama, Perak mencipta kemenangan ketiga setelah mengalahkan Sabah 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Dua gol Perak masing-masing dijaringkan oleh Mohd Fazrul Hazli (min-4) dan Mohd Failee Ghazali (penalti min-45) sementara gol Sabah dijaringkan oleh Shahrul Azhar Ture pada minit ketujuh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain