suria

Pemain Veteran Optimis Malaysia Mampu Lakar Sejarah Di Sukan Olimpik

KUALA LUMPUR: Walaupun pertemuan menentang Jepun boleh dianggap satu misi yang sukar, namun beberapa bekas pemain bola sepak veteran menganggap perkara itu bukan mustahil sekiranya skuad Olimpik memulakan aksi sulung dengan cemerlang.

Skuad Olimpik negara di bawah kendalian Ong Kim Swee akan memulakan misi aksi sulung kumpulan C, pusingan Kelayakan Olimpik Zon Asia menentang skuad 'negara matahari terbit' itu Rabu ini.

Beberapa pemain veteran yang ditemui berkata perlawananan bola sepak di Jepun seharusnya dipandang sebagai sesuatu yang positif dan peminat harus yakin dengan kebolehan skuad Olimpik negara.

Bagi bekas pemain pertahanan era 70an, Datuk Soh Chin Aun, beliau berkata perlawanan itu merupakan pendedahan yang baik kepada skuad negara untuk menguji sejauh mana tahap persediaan mereka.

"Secare teknikalnya pasukan kita ini bagus, tapi mereka perlu tingkatkan lagi tahap disiplin ke arah yang lebih baik," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa perlawan 1st Malaysia Day Ex-International and State Veteran Invitiation Soccer 9s di sini Jumaat.

Dalam perlawanan itu lapan pasukan negeri serta empat pasukan veteran kebangsaan bertanding dalam perlawanan yang berlangsung hari ini dan esok.

Soh berkata peminat seharusnya memberi peluang kepada skuad negara dan tidak memandang rendah terhadap kebolehan mereka untuk muncul juara.

"Semua orang tahu pasukan Jepun antara yang terkuat di dunia, tapi saya rasa tidak ramai yang beri peluang kepada pasukan kita, jika pasukan kita beraksi dengan teratur, bermain dengan lebih defensif dan tidak buat banyak kesilapan, mereka pasti dapat hasilkan keputusan yang baik," katanya.

Sementara itu Datuk Santokh Singh, salah seorang bekas pemain pertahanan terbaik negara, optimis Malaysia mampu melakar sejarah dengan ramalan sasaran 2-1 menentang Jepun.

"Saya yakin Malaysia mampu melakukannya (menang) dan skuad negara juga harus mempunyai keyakinan yang sama. Bermain atas nama negara, dan bukan mengharapkan ganjaran.

"Pemain kebangsaan juga harus berlatih dengan bersungguh-sungguh dan harus berasa bangga kerana mereka memikul tanggungjawab untuk menjaga kehormatan nama Malaysia dengan memastikan kemenangan," katanya.

Bekas setiausaha agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan pula berharap agar skuad negara mampu memberi saingan yang sengit dalam perlawanan tersebut berdasarkan bantuan yang diberikan termasuk latihan di luar negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain