suria

Azry, Dottie Muncul Juara Remaja Terbuka Malaysia

PETALING JAYA: Pemain tempatan Muhammad Azry Asyraf Noor Azam dan Dottie Ardina dari Filipina masing-masing menjuarai kategori terbuka lelaki dan wanita pada Kejohanan Golf Terbuka Remaja Malaysia 100Plus di Saujana Golf & Country di Subang, dekat sini, Khamis.

Muhammad Azry Asyraf menjuarai kejohanan berprestij itu selepas mengenepikan Low Khai Jei dengan membenam birdie dalam pukulan penentuan 'sudden death' kedua pada par lima lubang ke-18.

Kedua-dua pemain itu terpaksa mengharungi pusingan 'sudden death' selepas terikat dengan catatan empat di atas par 220 selepas menamatkan saingan tiga pusingan itu.

"Saya berasa bangga untuk bersaing dalam pusingan akhir tetapi tidak sangka untuk merangkul kejuaraan ini.

"Saya agak gugup ketika saingan penentuan dan apabila terikat pada pukulan 'sudden death' pertama, saya mengingatkan diri supaya bertenang pada lubang seterusnya," kata pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Hi-Tech Kulim di Kedah.

Muhammad Azry Asyraf, yang merangkul Kejohanan Terbuka Amatur Perak awal tahun ini, berkata beliau sangat bangga sekiranya terpilih mewakili negara pada Sukan SEA Indonesia, November ini.

"Adalah menjadi impian saya untuk mewakili negara dalam mana-mana kejohanan di luar negara," katanya.

Dalam pada itu, pendahulu dua pusingan awal, Jeremiah Kim hanya sempat berkongsi tempat ketiga dengan pemain Indonesia Joshua Andrew Wirawan dengan catatan terkumpul enam di atas par 222 selepas tiga pusingan.

Bagaimanapun, Jeremiah tidak pulang dengan tangan kosong apabila memenangi gelaran juara bawah 18 tahun.

Dalam kategori terbuka wanita, prestasi terburuk Dottie pada pusingan akhir dengan sembilan di atas par 81 tidak mengugat kedudukan keseluruhan apabila masih mampu menjuarai dengan kelebihan empat pukulan ke atas pemain India, Aditi Ashok.

Rakan senegara, yang juga juara bertahan, Sarah Ababa berkongsi tempat ketiga dengan pemain Malaysia, Loy Hee Ying dengan 11 di atas 227.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain