suria

PSM Perlu Kaji Semula Program Pembangunan: MSN

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) disaran mengkaji semula program pembangunannya bagi melahirkan lebih ramai pemain berkemahiran.

Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong berkata skuad sepak takraw negara kini hanya bergantung kepada pemain lama meskipun mereka gagal mempamerkan prestasi yang baik.

"Tak perlu formula yang istimewa (untuk meningkatkan prestasi) kalau perkara asas seperti servis pun tak boleh nak angkat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, hari ini.

Beliau mengulas kekalahan regu negara kepada Indonesia pada suku akhir Siri Super I di Bangkok, Sabtu lepas.

Katanya PSM perlu menggunakan segala kepakaran yang ada untuk menubuhkan pasukan pelapis yang berkebolehan, supaya nama negara sebagai gergasi sepak takraw tidak tenggelam dalam arena antarabangsa.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan kekalahan itu sebagai sesuatu di luar dugaan.

"Kalau kalah pada perlawanan akhir itu biasa, tapi kalau pada suku akhir, itu sesuatu yang luar biasa. Pasti kita nak tahu apa sebab-sebabnya," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jadual Perlawanan Liga Juara-Juara

Artikel Lain