suria

Lima Pemain Muda Kebangsaan Terima Tajaan Bernilai RM1.5 Juta

KUALA LUMPUR: Lima pemain muda bola sepak kebangsaan dari skuad Harimau Muda B dipilih menerima biasiswa menyambung pengajian di Kolej Antarabangsa Cyberlynx (CIC) dengan jumlah keseluruhan RM1.5 juta.

Muhammad Ariff Zulkifly, Muhammad Akram Mahinan, Mohd Syuhirah Zainal, Ahmad Faizal Sumar dan Muhammad Naim Zakaria dipilih bagi mengikuti pengajian dalam Diploma Pengajian Bola Sepak dan setiap seorang bakal menerima tajaan sebanyak RM30,000 setahun selama tempoh pengajian yang ditetapkan.

Menurut Pengarah Urusan CIC, PB Ashok, program ini adalah jalinan kerjasama dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan secara jelasnya ia adalah untuk membantu masa depan atlet itu sendiri dan dalam masa sama ia mampu membantu dari segi perkembangan bola sepak negara.

“Kami memilih mereka ini bukan sahaja berdasarkan prestasinya ketika di padang tetapi turut memantau perkembangan pelajarannya. Ini merupakan program jangka masa panjang dan dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun lalu kita akan nampak hasilnya.

“Ia bukan sahaja tertumpu kepada sukan, tetapi kami turut menerapkan bidang perniagaan dalam pengajian mereka ini,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan tajaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sementara itu Ahmad Shabery berkata, program ini merupakan satu usaha pihak swasta untuk menaikkan sukan bola sepak negara dalam memberi tajaan kepada pemain-pemain yang terpilih.

“Ia satu peluang baik kepada sukan negara dan kepada pemain-pemain yang terpilih dalam mengikuti pengajian dalam bidang bola sepak,” katanya.

Selain itu, lima pemain yang terpilih ini tidak dapat hadir pada majlis penyerahan tajaan ini kerana sedang beraksi pada Kejohanan AFF Bawah 19 Tahun di Yangon, Myanmar.

CIC menawarkan sepuluh biasiswa kepada pelajar-pelajar yang layak dan dipilih oleh KBS untuk mengikuti Pengajian Bola Sepak serta perlu menghabiskan pengajian selama dua tahun setengah dalam kursus yang ditawarkan.

Setiap pemohon yang berminat perlu mengemukakan borang permohonan dan perlu mempunyai kelulusan minimum tiga kredit dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Kolej antarabangsa yang berpengkalan di Jalan Metro Pudu, Kuala Lumpur ini telah memulakan operasi pada Mac 2006 dengan menawarkan kursus pra universiti dan diploma.

Pada mulanya CIC hanya menawarkan dua jenis kursus, namun kini terdapat tujuh lagi kursus disediakan dan kesemuanya telah mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jadual Perlawanan Liga Juara-Juara

Artikel Lain