suria

Selangor Guna Khidmat Dua Pemain Liga Perdana Inggeris

SHAH ALAM: Skuad Selangor akan diperkuatkan dengan dua bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) dari Liverpool dan Manchester United selain penyerang sensasi negara Safee Sali, bagi menentang Singapura pada perlawanan Piala Sultan Selangor, 1 Oktober ini.

Edisi ke-10 perlawanan itu yang diadakan sempena meraikan ulang tahun ke-10 pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah, akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 9.30 malam.

Pengerusi Jawatankuasa kejohanan itu, Datuk Abdul Karim Munisar bagaimanapun enggan mendedahkan dua nama bekas pemain EPL yang akan membantu misi Selangor membawa pulang piala tersebut selepas ia dirampas oleh Singapura pada 2008.

"Kita memilih dua pemain import dalam edisi kali ini adalah bagi membantu pasukan Selangor memperkuatkan barisan kesebelasan utama. Kita mahu mengimbangi perlawanan kerana dalam kejohanan ini, pasukan Singapura mempunyai beberapa pemain naturalisasi," katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang di sebuah hotel di sini, Isnin.

Abdul Karim berkata pemergian Safee Sali, pemain Kelab Pelita Jaya, Indonesia yang menjalani sesi ujian percubaan selama dua minggu bersama kelab Liga Kejuaraan, Cardiff City dimiliki oleh ahli perniagaan, Datuk Chan Tien Ghee tidak akan mengganggunya menggalas tugas bersama The Red Giants.

"Saya difahamkan dia sah akan menyertai piala ini dan dijangka pulang pada 27 Sept ini kerana Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mahukan Safee dibawa pulang bagi mengukuhkan kekuatan The Red Giants itu," katanya.

Selain itu, kejohanan yang menyaksikan pertembungan antara pasukan Selangor dan Singapura itu, akan dimulakan dengan perlawanan antara pasukan veteran pada pukul 8 malam selain persembahan daripada artis tempatan Amy Search, pertunjukan bunga api dan payung terjun.

Terdahulu, Abdul Karim menyerahkan 40,000 tiket perlawanan kepada Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Md Yunus untuk diagihkan kepada pelajar sekolah di sekitar Selangor.

Tiket perlawanan telah mula dijual dengan harga RM10 di Hotel Quality Shah Alam, Hotel Quality City Centre Kuala Lumpur, Hotel Concorde Shah Alam, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Pusat Beli-Belah SACC dan Stadium Shah Alam.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain