suria

Safee, Safiq Cerminkan Kejayaan Bola Sepak Negara: Razali

KUALA LUMPUR: Kejayaan ketua skuad kebangsaan Safiq Rahim dan penyerang Safee Sali menambat kelab Liga Kejuaraan England, Cardiff City, dilihat sebagai satu kejayaan kepada arena bola sepak negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim berkata kejayaan itu dilihat sebagai pemangkin semangat khususnya kepada generasi muda untuk berjaya dalam arena bola sepak.

"Sudah lama kita menantikan model contoh selepas pemergian Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Wacana Eksekutif Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), di sini, Isnin.

Beliau mengulas tawaran kelab Cardiff City kepada Safiq dan Safee untuk menjalani ujian percubaan.

Safee dijadual memulakan ujian dengan kelab itu bermula hari ini hingga 27 September ini, sementara Safiq pula memulakannya sejak dua minggu lepas.

Kedua-dua pemain tersebut juga mendapat tawaran yang serupa dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Queens Park Rangers (OPR), yang dimiliki Tan Sri Tony Fernandes.

Razali percaya Safee mahupun Safiq mampu melaksanakan tanggungjawab itu dan berharap mereka berusaha sehabis baik untuk membanggakan rakyat Malaysia.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain