suria

Rexy Terap Latihan Ketahanan Dalam Beregu Wanita, Campuran

KUALA LUMPUR: Jurulatih badminton beregu negara Rexy Mainaky akan menerapkan latihan ketahanan fizikal bagi skuad beregu wanita dan beregu campuran bagi menguatkan stamina dan fizikal pemain.

Ketua jurulatih beregu wanita dan campuran itu, yang memulakan tugas barunya Sabtu lepas, bercadang mengadakan sesi larian di trek pada setiap petang mulai esok.

"Kita mahu membina kekuatan badan mereka terutama bagi pemain beregu wanita.

Oleh sebab itu masa latihan juga akan diubah iaitu larian di trek pada 4 petang berbanding sebelum ini latihan biasa pada 2 petang," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pagi di Stadium Juara Bukit Kiara di sini, Isnin.

Rexy memulakan sesi latihan bersama beregu wanita Marylyn Ng/Lim Yin Loo dan beregu campuran Tan Aik Quan/Lai Pei Jing.

Pemain lain termasuk beregu wanita Wong Pei Tty dan Chin Ee Hui kini berada di Changzhou, China kerana mengikuti Kejohanan Siri Super Masters China bermula Selasa hingga Ahad ini.

Rexy, yang sebelum ini merupakan ketua jurulatih beregu, menerima keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada mesyuarat jawatankuasa latihan dan kejurulatihan (C&T) Khamis lepas dengan hati yang terbuka.

"Saya harap selepas ini jangan sampai ada masalah lagi. Tugasan yang diberi saya terima dengan gembira," katanya yang sebelum ini melatih beregu utama negara Koo Kean Keat/Tan Boon Heong.

Sementara itu, pemain beregu wanita Lim Yin Loo berkata beliau tidak kekok berlatih di bawah Rexy memandangkan sudah biasa dengan jurulatih dari Indonesia itu.

"Teruja dapat berlatih di bawah Rexy. Beliau seperti yang kita ketahui mempunyai kekuatan dalam acara beregu," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain