suria

Sabah Sekat Kebangkitan Kedah

KUALA LUMPUR: Sabah membuat kejutan apabila berjaya mengalahkan Kedah 2-1 dalam saingan Piala Malaysia kumpulan A di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam Sabtu.

Gol pertama Sabah berjaya dihasilkan menerusi tandukan Zainizam Marjan pada minit ke-27 melalui hantaran Shahrul Azhar Ture.

Sabah cuba memburu gol kedua pada minit ke-34 menerusi Zuraindey Jumai, namun gagal apabila cubaan tersebut melepasi palang gol lawan.

Gol kedua Sabah hadir pada minit ke-77 hasil jaringan K. Thanaraj, manakala gol saguhati Kedah dijaringkan oleh Mohamad Azmi Muslim pada minit ke-86.

Dalam satu lagi saingan kumpulan A, Perak mengatasi Johor 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Dua gol Perak disumbangkan oleh Mohd Failee pada minit ke-29 dan Mohd Syafiq Jamal (minit ke-74), manakala gol saguhati Johor dijaringkan oleh Azuwad Arif pada minit ke-88.

Sementara itu, Negeri Sembilan yang beraksi dalam kumpulan B berjaya mencatat kemenangan besar malam ini setelah membelasah Sime Darby 5-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Lima gol tersebut disumbangkan oleh Hairuddin Omar pada minit ke-33 dan 72, Shahurain Abu Samah (36), Shukor Adan (64) dan Firdaus Azizul pada minit ke-79.

Terengganu turut sama mengutip tiga mata penuh pada saingan kumpulan B setelah menang tipis 3-2 ke atas PKNS Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit pertama hasil jaringan Mohd Ashaari Samsudin, namun PKNS berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Mohd Fauzan Dzulkifli pada minit kesembilan.

Terengganu kemudiannya berjaya mengatasi jaringan pada minit ke-54 menerusi sumbangan Reeshafiq Alwi.

PKNS kembali menguasai permaian pada babak kedua perlawanan apabila berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Mohd Zamri Hassan pada minit ke-62, namun kegembiraan tersebut tidak kekal lama apabila Abdul Manaf Mamat menjaringkan gol kemenangan Terengganu pada minit ke-79 menerusi sepakan penalti.

Dalam saingan kumpulan C, Kelantan mengalahkan Johor FC 2-1 di Stadium Sultan Muhammad ke-4, Kota Baharu.

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ke-11 menerusi Eddy Helmi Abdul Manan, namun kegembiran tersebut tidak kekal lama apabila skuad 'The Red Warriors' berjaya menyamakan kedudukan menerusi Mohd Shakir Shaari tujuh minit kemudian.

Mohd Ramzul Zahini menjadi wira pasukan Kelantan apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88.

Felda United yang turut beraksi dalam kumpulan C pula menang tipis 1-0 kepada Sarawak di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Gol tunggal tersebut dijaringkan oleh Mohd Lot Abu Hassan pada minit ke-68.

Kuala Lumpur pula terus cemerlang mencari kedudukan selasa dalam saingan kumpulan D setelah berjaya menewaskan T-Team 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Gol pertama Kuala Lumpur hadir pada minit ke-27 hasil jaringan Yong Kuong Yong, namun T-Team berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Norfazly Alias pada minit ke-46.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Kuala Lumpur kembali mengatur serangan bagi memperolehi gol kedua menerusi Yong Kuong Yong pada minit ke-47.

Sementara itu dalam satu lagi saingan kumpulan D, Selangor berjaya menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 di Stadium Shah Alam.

Mohd Fadzli Saari menjadi wira bagi skuad Selangor setelah berjaya menyumbang dua gol pada minit ke-46 dan minit ke-59. - BERNAMA

Artikel Berikut

AC Milan Sekadar Seri Dengan Lazio

Artikel Lain